Selasa, 15 November 2016

SIMPAN, JIMAT DAN JANA DUIT DALAM MASA 21 HARI

Adakah anda sering rasa buntu mengenai keadaan kewangan anda? Apa kata cuba ikuti aktiviti 21
hari untuk menyimpan, berjimat dan menjana duit ini untuk memperbaiki kewangan anda.

HARI 1: Jejak segala perbelanjaan anda
Tidak kira perbelanjaan besar atau kecil, catitkannya dan jejak wang keluar dari poket
atau bank anda. Setiap transaksi perlu direkodkan kerana sekiranya anda tidak menjejaki
kewangan anda, anda pasti akan lupa dan tidak tahu ke mana wang anda pergi di hujung bulan!


HARI 2: Simpanan secara automatik
Lakukan simpanan secara automatik. Lakukan arahan kepada bank anda untuk membuat pemindahan
wang secara automatik setiap bulan. Dengan cara ini, ia memberi jaminan pada diri anda
sendiri untuk sentiasa menyimpan sejumlah wang setiap bulan.


HARI 3: Laburkan wang simpanan
Bukan saja menyimpan wang, pastikan wang yang disimpan dilaburkan. Tidak perlu melabur pada
sesuatu yang anda tidak faham seperti pasaran saham. Mula membaca dan memantau pelaburan
seperti unit amanah atau dana bersama. Kunjungi bank dan pelajari risalah mengenai jenis
pelaburan yang disediakan.


HARI 4: Simpan wang untuk kecemasan
Mulakan simpanan wang untuk kecemasan. Sebagai tambahan, ini adalah satu keutamaan kerana
malang tidak berbau. Sebaiknya, ketepikan perbelanjaan anda sekurang-kurangnya untuk enam
bulan akan datang. Dana ini adalah dana kecemasan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak
diduga pada punca pendapatan anda.


HARI 5: Rancang perbelanjaan anda
Lakukan perancangan yang rapi berhubung perbelanjaan dan bakal perbelanjaan anda. Fikirkan
wang masuk dan wang keluar untuk beberapa bulan akan datang dan lakukan bajet supaya dapat
mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan akan datang di samping tidak mengganggu perancangan
menyimpan anda. Tanpa perancangan wang, anda merancang untuk gagal dalam hal kewangan.


HARI 6: Hentikan penggunaan kad kreditBagi mereka yang sering menggunakan kad kredit, pasti ini agak sukar. Tetapi untuk berjaya
dalam kewangan, sememangnya perlu lakukan perkara yang susah.

Hentikan penggunaan kad kredit terutama dari segi pembelian barangan yang tidak diperlukan.
Bulan ini, tinggalkan kad kredit di rumah dan gunakan tunai untuk transaksi.


HARI 7: Hentikan keahlian yang tidak digunakan
Anda memiliki keahlian kelab, gimnasium, hiburan atau sesuatu yang anda sendiri tidak gunakan
tetapi melakukan bayaran bulanan? Hentikannya.

Sekiranya ada, kita sering melewat-lewatkan masa untuk menghentikannya. Kali ini, anda hentikan
tanpa perlu berfikir panjang.


HARI 8: Hentikan perbelanjaan harian kecil yang tidak diperlukan.
Pembelian harian ini mungkin membabitkan gula-gula, majalah ataupun sekotak rokok.Anda juga boleh menghentikan lawatan ke kedai mamak dan kurangkan makanan yang tidak sihat.Mengurangkan perbelanjaan yang kecil di sana dan sini, akhirnya akan membuatkan simpanan yang besar.


HARI 9: Jaga kesihatan dan kurangkan perbelanjaan
Jaga kesihatan, lakukan senaman setiap hari dan amalkan pemakanan yang sihat. Tambahkan buah-buahan
dan sayur-sayuran serta kurangkan gula. Dengan menjaga kesihatan, pastinya kos perbelanjaan perubatan
juga akan diminimumkan pada masa akan datang.


HARI 10: Simpan untuk hari tua anda
Buka tabung untuk hari tua anda. Mungkin anda sudah mempunyai simpanan KWSP, tetapi sering kali
simpanan KWSP tidak mencukupi apabila bersara kelak.

Lakukan simpanan khas berasingan kerana tiada kemudahan pinjaman untuk bersara kelak. Antaranya Takaful dan Unit Pelaburan.


HARI 11: Urus bayaran hutang anda
Anda mempunyai hutang rumah, kereta atau kad kredit? Tiba masanya untuk anda menguruskannya
dengan lebih strategik. Pelajari bayaran faedah yang diperlukan.

Sekiranya boleh dan berbaloi, ubah pinjaman anda ke institusi kewangan yang menawarkan faedah yang
lebih rendah. Kemudian dengan cara strategik, lakukan bayaran balik secepat mungkin mengikut
kemampuan anda.

Wang yang anda jimat daripada cabaran hari yang lepas boleh digunakan untuk melangsaikan hutang
dengan lebih cepat.


HARI 12: Tawar menawar
Jangan lupa tawar menawar apabila membeli barangan di kedai. Bunyinya agak kedekut bagi sesetengah
orang, tetapi sering kali sekiranya anda bijak menawar, pastinya penjual boleh memberi sedikit
diskaun walaupun kecil.

Jangan lupa, simpanan yang sedikit akan menjadi pelaburan yang besar kelak.


HARI 13: Telefon bimbit dan siaran televisyen
Periksa kembali pakej telefon bimbit dan siaran televisyen anda. Adakah ia pakej terbaik dan anda
gunakan secara optimum?

Adakalanya anda boleh kurangkan pakej bayaran telefon bimbit dan juga siaran televisyen kerana anda
tidak menggunakannya secara optimum. Mana tahu, ada saluran yang anda tidak pernah buka dan anda boleh memotongnya sekali gus menjimatkan belanja bulanan.


HARI 14: Cari jualan istimewa
Apabila perlu berbelanja, cari tempat yang menawarkan harga istimewa. Begitu juga dengan makan minum,
terdapat restoran yang menawarkan harga diskaun pada waktu dan hari tertentu. Tugas anda adalah
berbelanja dengan penuh hemah dan merancang tempat dan masa anda perlu melakukan pembelian untuk
menjimatkan wang.


HARI 15: Tambahkan nilai diri anda
Pelajari skil baru. Dengan menambahkan ilmu, anda akan dapat menambahkan nilai anda dalam sesuatu
industri.

Menerusi tambahan nilai itu, ia meletakkan anda dalam keadaan yang lebih baik untuk dinaikkan pangkat
ataupun sekiranya menjalankan perniagaan, menambahkan bayaran untuk perkhidmatan perniagaan anda.

Apakah tempat terbaik untuk melaburkan wang anda? Laburkan pada ilmu untuk meningkatkan nilai diri anda.


HARI 16: Hentikan perbelanjaan emosi
Tidak kira lelaki atau wanita, manusia adalah insan yang beremosi. Ketika membeli juga adalah keputusan
emosi yang sering menguasai diri. Perhatikan keadaan apabila anda ingin membeli sesuatu yang mengikut
emosi dan bukan sekadar logik. Dikhuatiri keputusan pembelian mengikut emosi satu keputusan yang silap.

Tunggu sebelum membeli. Sekiranya ingin membeli sesuatu yang agak tinggi harganya, tunggu seminggu
sebelum membeli supaya dapat memikirkan keputusan itu dengan lebih mendalam.


HARI 17: Minta kenaikan gaji
Ya, sekiranya anda rasakan nilai anda bertambah lebih daripada apa yang dibayar, apa kata duduk dan
berbincang dengan majikan secara baik. Berikan sebab anda rasa anda layak diberi kenaikan gaji berserta
rekod dan bukti pencapaian anda.

Kalau anda tidak minta kenaikan, sudah pasti tidak dapat. Tetapi sekiranya anda minta, peluang untuk
mendapat kenaikan sudah ada.


HARI 18: Belajar cara menjana pendapatan sampinganFikirkan cara menambahkan aliran pendapatan anda. Daripada hanya bergantung kepada satu punca
pendapatan, fikirkan cara mendapat pendapatan tambahan.

Mungkin anda boleh melakukannya dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan, perniagaan Internet
atau menawarkan sebarang perkhidmatan mengikut kebolehan dan skil anda.


HARI 19: Biayai semula pinjaman rumah
Pernah anda terfikir mengenai pembiayaan semula pinjaman rumah anda? Prosesnya menjadi semakin mudah
namun anda perlu mengetahui sama ada langkah itu berbaloi mengikut keperluan anda jangka panjang.
Membiayai rumah dapat mengurangkan bayaran bulanan rumah anda.


HARI 20: Pelaburan yang lain
Mungkin tiba masanya untuk anda lebih mendalami pelaburan. Sekrianya selama ini hanya melabur di
institusi kewangan, apa kata anda mula pelajari pelaburan hartanah, emas, perak, saham dan pelbagai
bentuk pelaburan lain.

Terdapat banyak platform pelaburan untuk dipelajari. Apa yang penting,cari ilmu terlebih dulu dan
lakukan pelaburan mengikut minat anda dan bukan kata-kata orang.


HARI 21: Belanja diri anda!
Ya, walaupun perkongsian 21 hari ini lebih kepada menjimat, menyimpan dan menjana wang, jangan lupa
juga ada masanya anda perlu belanja diri anda sendiri sebagai ucapan tahniah kepada anda kerana
berjaya mengawalkewangan anda.

Cuma jangan jadikan ini alasan untuk berbelanja besar. Belanja diri sendiri mengikut kemampuan asalkan
anda bahagia dan teruskan momentum menjimat, menyimpan dan menjana pendapatan diri anda untuk hari yang akan datang!

Oleh Irfan Khairi
Majalah Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan