Seronok rasanya bila kita membaca, mendengar dan menelaah
panduan-panduan, kelas-kelas dan bengkel-bengkel pengurusan kewangan
peribadi dari guru-guru kewangan yang dihormati. Kita pun bersemangat
jitu dan mulalah kita bertindak dengan pelbagai teknik dan taktik
mengumpul, mengurus, berbelanja dan melindungi harta kita dengan baik.
Bagaimanapun untuk mengekalkan motivasi mengurus itu amatlah tidak
mudah. Hari ini kami mahu berkongsi dengan tuan-puan pil-pil motivasi
mengurus yang efektif. Ia merupakan satu blueprint kekal di dalam minda
tuan-puan, selama-lamanya!
Inilah dia matlamat tertinggi pengurusan wang peribadi. Syurga!
Maka itu, dengan ringkas dan padat, dikongsikan 7 cara urus wang
sampai ke syurga! Sila bersedia semua, mari kita mulakan. Mohon sebelum
itu tuan-puan baca ayat seterusnya dengan suara yang boleh didengar oleh
diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya mengurus wang saya
sampai ke syurga!”.
1. Menjadi pembayar zakat yang setia
Lengkap sempurna tubuh badan insan mukallaf adalah dengan lengkapnya
rukun keimanan dan rukun keislamannya. Membayar zakat bukanlah pilihan,
ia kewajipan. Pilihlah menjadi pembayar zakat. Berusahalah sedaya upaya
tuan-puan. Bayarlah seberapa banyak zakat yang mungkin!
Selain daripada Zakat Fitrah di ambang Syawal, ada banyak lagi jenis
zakat yang boleh kita jadikan platform untuk menyempurnakan diri kita
untuk menjadi seorang pembayar zakat yang setia.
Uruskan wang tuan-puan sebaiknya, simpanlah di simpanan jangka masa
panjang di Dana Bebas Kewangan. Semakin banyak, semakin bagus. Semakin
dekat tuan-puan dengan sasaran bebas kewangan, semakin tuan-puan dekat
dengan nisab zakat. Alhamdulillah.
Selain zakat simpanan, bagi tuan-puan yang memilih untuk menyimpan
melalui emas, perak dan juga secara peratusan dan sijil saham, tuan-puan
juga layak menjadi pembayar zakat apabila sampai nisab dan haul
tahunannya. Bayarlah zakat emas, perak dan saham tuan-puan dengan bangga
dan setia.
Bagi tuan-puan yang berniaga, sudah tentu tuan-puan tidak mahu
melepaskan peluang sebagai pembayar zakat. Buatlah untung banyak-banyak,
apabila sampai nisab dan haul tahunan, bayarlah tuan-puan zakat
perniagaan tuan-puan dengan bangga dan setia.
Pil motivasi sebagai pembayar zakat ini amat mujarab sekali mengatasi
sakit-sakit lemah semangat dan lenguh-lenguh seribu alasan.
Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar
oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya membayar zakat
dengan bangga dan setia!”.
2. Tunaikan umrah dan haji wajib
Tanpa pengurusan wang yang baik, perkara kedua ini sukar sekali
dicapai. Ataupun jika tidak sukar ia menjadi terlalu lama untuk dicapai.
Tuan-puan yang membaca artikel ini yang masih muda belia, atau di
pertengahan usia inilah pil motivasi tuan-puan yang kedua.
Ketahuilah tuan-puan bahawa ibadah umrah dan haji selain menuntut
kecukupan dana dan wang belanja, ia juga menuntut komitmen tenaga dan
kesihatan tubuh badan yang sangat tinggi.
Uruskan wang tuan-puan. Antaranya dengan menabung. Simpan di Tabung
Haji. Cukup sahaja RM1300 daftarlah haji dengan segera. Jangan
bertangguh jika mahu menunaikan haji pada usia yang sihat.
Untuk haji kali pertama kos wajib menunaikan haji ialah RM9980.
Katakanlah kita ambil angka untuk wang belanja semasa di sana nanti
ialah RM2000, ini bermakna tuan-puan perlu menyimpan sebanyak RM11,980.
Jika tuan-puan menyimpan sebanyak RM350 sebulan selama 3 tahun,
tuan-puan telah cukup wang untuk menunaikan haji dan umrah wajib
berkenaan. Kemudian tuan-puan tinggal tunggu giliran sahaja dan buatlah
rayuan jika mahu.
Berusahalah sedaya upaya tuan-puan mengurus wang. Tidak tahu esok
lusa, sempat atau tidak tuan-puan menunaikan rukun Islam kelima ini.
Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar
oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya kumpul wang saya
untuk menunaikan haji dan umrah wajib bagi diri saya. Saya mahu masuk
syurga!”.
3. Berwaqaf dengan gembira dan konsisten
Jika istilah pendapatan bawa balik ada dalam kamus pengurusan
kewangan peribadi, istilah berkenaan juga bertepatan dengan perbincangan
kita kali ini. Pil ketiga ini lebih kepada pendapatan bawa balik;
selama-lamanya!
Peruntukan sebahagian porsi untuk amalan waqaf. Di Malaysia amalan
agihan waqaf biasanya pergi kepada pembangunan prasarana, kemudahan,
peralatan, kesihatan dan pendidikan.
Ini bermakna, walaupun tuan-puan sudah tiada lagi di dunia ini, harta
waqaf tuan-puan masih memberi pahala pasif kepada tuan-puan selagi ia
digunakan dan memberi manfaat kepada orang ramai. Ini sudah bagus!
Hari ini amalan waqaf semudah di hujung jari. Hanya melalui online
sahaja. Dengan kos semurah 1 unit : RM10 sekali waqaf, tuan-puan tidak
akan sangka kuasa tindakan tuan-puan ini. Banyak sekali manfaatnya
kepada agama dan masyarakat. Malah lebih menarik dan gembira, tuan-puan
boleh juga menikmati pelepasan cukai individu dengan amaun waqaf yang
tuan-puan keluarkan itu. Wah, ini sudah untung berganda, untung di dunia
dan untung di akhirat!
Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar
oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya berwaqaf dengan
gembira dan konsisten”.
4. Memberi hadiah dan sedeqah dengan ceria dan bahagia
Pil motivasi keempat untuk tuan-puan terus konsisten mengurus wang
peribadi tuan-puan adalah berkaitan dengan perasaan. Pil perasaan ceria
dan bahagia.
Memberi sesuatu yang disayangi dan diperlukan oleh tuan-puan sendiri
kepada orang lain adalah satu perkara. Memiliki perasaan ceria dan
bahagia itu satu perkara yang lain pula.
Jika tuan-puan belum sampai ke tahap berzakat, berwaqaf dengan banyak
dan layak menunaikan haji dan umrah pertama inilah pil kelazatan yang
terawal tuan-puan boleh ambil bagi meneruskan perjuangan tuan-puan
mengurus wang untuk bebas kewangan.
Hadiahkan sesuatu kepada orang lain sama ada kecil atau besar. Barang
atau manfaat, hadiahkan sahaja. Ia mampu menggembirakan siapa sahaja.
Dalam muamalat, ia dinamakan hibah. Peruntukan satu porsi kewangan
peribadi tuan-puan untuk memberi hadiah ini.
Tidak syak lagi, kita sudah sangat maklum bahawa sedeqah adalah
amalan semua manusia terkaya di dunia. Ia juga amalan semua manusia yang
termulia di dunia. Ia juga amalan semua manusia yang dijamin masuk
syurga! Sedeqah lah, jangan tapi-tapi.
Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar
oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya ceria dan bahagia
kerana saya memberi hadiah dan sedeqah kepada orang lain!”.
5. Menyediakan kecukupan buat ibu bapa dan keluarga
Seribu satu teknik mengurus pun yang tuan-puan amalkan, teknik yang
satu ini sangat efektif untuk mencetus motivasi berterusan tuan-puan
untuk mengurus wang.
Peruntukkan satu porsi khas untuk mencukupkan keperluan ibu bapa dan
keperluan keluarga tuan-puan. Aduh, bahagianya rasa! Hilang sebentar
semua rasa penat jerih tuan-puan berusaha.
Jangan tuan-puan risaukan jumlahnya, risaukan konsistensinya. Balik
lah ke kampung halaman. Tinjau-tinjau keperluan ibu ayah kita. Mungkin
tidak semua ibu bapa sampai ke tahap memerlukan, tetapi mesti ada satu
keperluan yang boleh tuan-puan sumbangkan.
Tuan-puan lihat pula wajah redup isteri atau suami dan anak-anak.
Bukankah mereka amat layak mendapat kecukupan hidup? Bukankah mereka
layak mendapat keselamatan? Bukankah mereka layak mendapat kesihatan dan
perlindungan? Bukankah mereka layak mendapat pendidikan yang baik-baik?
Amati wajah-wajah abang, kakak dan adik-adik tuan-puan. Tanya kepada
diri tuan-puan dengan jujur, adakah sebarang keperluan mereka yang
tuan-puan boleh sumbangkan. Perhati wajah-wajah datuk-nenek, pakcik dan
makcik tuan-puan, bukankah mereka ada keperluan yang boleh kita berikan?
Bukan berapa banyak, juga bukan berapa baru, juga bukan berapa mahal,
juga bukan berapa kerap yang mereka mahukan. Tuan-puan, sesungguhnya
inilah modal pahala pasif yang maha hebat kuasanya!
Inilah dia modal restu dan doa yang lebih mahal harganya dari berapa banyak harga barang dan manfaat yang tuan-puan berikan.
Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar
oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya amat gembira
cukupkan keperluan ibu bapa dan keluarga saya!”.
6. Menjadi majikan impian
Ceritanya begini, tuan-puan pun mengurus wang. Segala kemahiran dan
disiplin telah tuan-puan kuasai. Dengan wang yang tuan-puan urus itu
membolehkan tuan-puan menjadi majikan pula kepada orang lain.
Ia menuntut kepada lebih cara, kaedah, teknik pengurusan wang kerana
selama ini tuan-puan mengurus wang peribadi, kali ini tuan-puan akan
mengurus wang syarikat pula. Pengetahuan dan pengalaman tuan-puan akan
lebih berkembang. Itu manfaat di dunia.
Dengan berkongsi rezeki yang tuan-puan ada kepada orang lain ini
bermakna tuan-puan membuat lebih banyak amal jariah, lebih waqaf, lebih
hadiah, lebih sedeqah. Selain mendapat pahala amal memberi dan berkongsi
rezeki, tuan-puan mendapat pahala amanah.
Kerja jadi mudah dan efisyen, bisnes semakin berkembang, aliran tunai
semakin aktif, untung rugi dikongsi sama, pahala syurga juga mengalir
semakin deras!
Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar
oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya seronok menjadi
majikan yang amanah!”.
7. Pelaburan kepada pendidikan dan pengalaman
Peruntukkan dan kumpullah porsi kewangan peribadi tuan-puan untuk
tujuan meningkatkan ilmu dan pengalaman. Ia adalah pelaburan di dunia
dan di akhirat.
Dengan peruntukan ini tuan-puan belanjakan untuk menghadiri
kelas-kelas pembangunan diri, membeli buku-buku yang baik-baik,
menghantar anak-anak ke sekolah dan pusat pendidikan yang baik-baik.
Sesungguhnya hari ini semuanya itu ada harga yang perlu dibayar.
Dengan harga itu Allah telah menjanjikan kemudahan jalan ke syurga
kepada orang yang keluar untuk menuntut ilmu (mafhum hadis sohih).
Apatah lagi untuk orang yang mengamalkan ilmu. Berganda lagi lah jalan
kemudahan menuju syurga yang maha indah itu.
Dengan peruntukan ini tuan-puan kumpul juga pengalaman. Pengalaman
berkuli, pengalaman menjadi rakan kongsi dan pengalaman membuat kerja
amal. Jelasnya ia juga salah satu dari sumber pahala.
Dengan peruntukan ini tuan-puan bermusafirlah keluar melihat alam
buana yang misteri ini. Untuk setiap langkah ilmu dan musafir itu
terbentang peluang pahala bagi yang terpilih. Kita bukan hanya
jalan-jalan, kita cari ilmu dan pengalaman. Dengannya kita kayakan diri
dengan pahala berkongsi.
Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar
oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya kumpul wang saya
untuk belajar dan tambah pengalaman diri”.
Inilah dia kami kongsikan 7 perkara mengurus wang yang membolehkan
tuan-puan mendapat syurga. Insya-Allah. Jika ia untuk pengetahuan,
ambillah sebagai ilmu. Jika ia untuk diamalkan, silakan lah beramal.
Jika tuan-puan sanggup mengurus wang untuk membeli kereta dan rumah
impian, apa kata tuan-puan termasuk kami sanggup mengurus wang kami biar
sampai ke syurga yang indah itu.
Sumber : Tuan Hafiszi Othman (Majalah Niaga)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan