Fenomena berhutang oleh
rakyat khasnya dalam kalangan umat Islam di negara ini cukup
merisaukan. Malah di antara negara-negara Asia, menurut Bank Negara
Malaysia kadar hutang isi rumah di Malaysia mencatatkan kadar yang
tinggi iaitu 87% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Hutang isi
rumah ialah merupakan hutang bagi tujuan pembelian rumah, kereta,
pinjaman peribadi atau kredit kad. Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada
hutang yang dilakukan oleh kerajaan.
Akibat hutang yang
tidak terkendali dan gaya hidup yang tidak sesuai dengan pendapatan,
ramai yang diisytiharkan muflis (bankrap). Satu perkara yang cukup
memperihatinkan ialah kaum Melayu mencatat kebankrapan tertinggi iaitu
40.72 % berbanding dengan kaum-kaum lain.
Soalannya ialah mengapa
di dalam kalangan Melayu-Islam hutang ini terus menjadi barah dan
seolah-olah tiada penyelesaiannya? Mengapa tiada kesedaran untuk
mengurangkan kadar hutang ke peringkat minimum atau menghilangkan sekali
gus? Mengapa hutang ini tidak dianggap sebagai perkara yang serius dan
perlu diambil berat, padahal dengan hutang jualah seseorang boleh
terhalang masuk syurga?
Dalam Islam, persoalan
menjaga hubungan yang baik sesama manusia amat ditekankan
pelaksanaannya. Dalam bahasa al-Qur’an, tuntutan menjaga hubungan baik
ini diistilahkan sebagai hablun minannas (mengikat tali perjanjian dengan manusia). Perkataan ini setingkat dengan perkataan hablun minallah
(menjaga tali atau agama Allah). Ini termasuklah bagaimana kita menjaga
hubungan baik dengan kawan atau saudara dengan mensegerakan
hutang-hutang kita yang tertunggak apabila ada keupayaan untuk
menjelaskan hutang tersebut.
Dalam hadis disebutkan
bahawa seseorang akan terhalang masuk syurga jika masih meninggalkan
hutang yang belum dijelaskan. “Barangsiapa yang datang pada hari kiamat
dalam keadaan bebas dari tiga perkara iaitu takabur, khianat dan hutang
maka mereka akan masuk surga” (Hadis riwayat Nasai dan Ibnu Hiban).
Hakikatnya, apa yang
berlaku di masyarakat hari ini terdapat satu amalan yang buruk iaitu
melengah-lengahkan hutang. Padahal sebenarnya mereka mempunyai kemampuan
untuk menjelaskan hutangnya. Namun kerana telah menjadi perangai dan
tabiat buruk yang sudah mendarah daging, kebiasaan itu seolah-olah
menjadi amalan biasa.
Berhutang menjadi satu
tren dan gaya hidup khasnya di dalam kalangan orang bandar meskipun
sebenarnya mereka mampu untuk tidak berhutang. Contohnya, kita mudah
membeli barangan kecil seperti tilam, karpet atau baju dengan berhutang.
Namun kerana penjual menawarkan bayaran dengan angsuran, kita mengambil
cara seperti itu meskipun harga barangan itu tidak mahal dan tidak
menjejaskan pendapatan bulanan kita.Disebabkan mengambil secara
angsuran, memancing kita untuk barangan lain. Akibatnya, banyak angsuran
yang tertunggak kerana terlebih hutang dan tidak dapat mengawal nafsu
berbelanja.
Hal ini berlaku kerana
di masyarakat sudah tertanam satu sikap untuk memandang enteng masalah
hutang. Hutang dianggap masalah kecil. Padahal hakitatnya ia amat
berkait rapat dengan menjaga hubungan dengan orang lain yang perlu
dijaga dengan baik. Hubungan yang baik merupakan perkara yang wajib
dijaga dalam Islam. Selagi hutang itu tidak dijelaskan, selagi itulah
perkara itu menjadi bebanan sehingga ke hari akhirat kelak.
Disebabkan hutang, akan
sia-sia segala kebaikan yang kita kerjakan di dunia ini. Segala ibadah
seperti solat, puasa dan berhaji tidak bermakna selagi kita tidak dapat
menjelaskan hutang di dunia. Begitu seriusnya masalah hutang ini
sehingga diriwayatkan bahawa dosa orang mati syahid diampuni kecuali
hutang. Hal ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang bersabda: “Setiap
dosa yang mati diampuni kecuali hutang” (Hadis Riwayat Muslim).
Fenomena hutang rumah
yang semakin meningkat belakangan ini semakin melarat kepada generasi
muda (Gen Y). Mengikut data yang dikeluarkan oleh Institut Kewangan
Asia, 75 peratus generasi Y pada masa ini mempunyai hutang jangka
panjang yang merangkumi pinjaman jual beli kereta, kad kredit,
pembiayaan pendidikan dan gadai janji.
Perkara yang lebih
memeranjatkan lagi ialah 40 peratus generasi muda membelanjakan wang
mereka di luar kemampuan mereka. Ini bermakna, Gen Y terperangkap
dengan gaya hidup berfoya-foya dan mudah membelanjakan wang tanpa
memikirkan kesan terhadap keperluan mereka.
Begitu juga dengan
gejala berhutang oleh pelajar di peringkat universiti. Ramai para
pelajar yang berhutang kerana terjebak dengan gaya hidup di persekitaran
mereka. Pada asasnya, keperluan asas pelajar seperti membayar yuran
pengajian, membeli buku dan keperluan kuliah, sewa bilik atau asrama
dapat diatasi dengan pinjaman yang diberikan oleh PTPTN, bantuan zakat
atau beasiswa yang mereka terima.
Tetapi, ada sesetengah
pelajar yang menyalahgunakan wang pinjaman itu dengan membeli barangan
yang tidak diperlukan misalnya membeli handphone mahal dan berjenama.
Oleh sebab itu, apabila tercetus pelajar kebuluran atau makan maggie
yang didakwa akibat keadaan ekonomi yang lembab, bukan itu isunya.
Melainkan disebabkan oleh gaya hidup dan tidak bijaksana menguruskan
perbelanjaan wang mereka.
Walau bagaimanapun,
tidak dapat dinafikan terdapat juga di kalangan pelajar yang menggunakan
wang bantuan atau pinjaman pendidikan untuk membantu kewangan keluarga
di kampung. Justeru itu, kita tidak boleh menyamaratakan kes pelajar
makan maggie atau makan sehari sekali dengan menuding pelajar berkenaan
tidak amanah memegang wang pinjaman atau bantuan yang diberikan untuk
belajar.
Perkongsian : Tuan Amin Fadlillah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan