“Harta itu merupakan kekayaan terpuji TETAPI hanya bagi orang yang soleh, kerana orang yang soleh akan menggunakan hartanya secara bijaksana, tidak dikotori rasa angkuh yang menghilangkan keberkatan dari Allah.”
Ingin tahu cara Rasul Terulung kita berniaga? Teruskan membaca.
1. Tidak Pernah Berdebat
Rasulullah dahulu ketika berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga
lain. Hal ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda
SAW sebelum Baginda diangkat menjadi rasul lagi. Dalam satu peristiwa,
seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW.
Melihat Saib datang, Rasulullah berkata, “Mari, mari. Selamat datang
saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata
Rasulullah . Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar
sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”
2. Teknik Menjual Yang Unik
Mengikut riwayat, Nabi menjual barang-barang Baginda tidak seperti
diamalkan oleh kebanyakan peniaga atau lain-lain saudagar ketika itu.
Baik peniaga Arab atau pun bukan Arab. Biasanya para peniaga
kebanyakannya mereka menjual barang-barang dagangan mereka dengan
meletakkan harga yang setinggi mungkin. Tetapi Nabi menjualnya dengan
cara memberitahu harga pokok dan meminta para pelanggan atau pembeli
membayar berapa harga yang mereka kehendaki.
Dengan cara ini pembeli merasa puas dan senang hati kerana mereka merasa
tidak tertipu oleh peniaga. Lalu mereka membeli dengan larisnya
sehingga barang-barang Nabi paling laku dan cepat habis berbanding
rakan-rakan Baginda yang lain. Selain itu Nabi juga mengambil sikap
menjual pada harga modal apabila sipembelinya seorang yang benar-benar
miskin tetapi memerlukan kepada barang itu. Baginda amat bertimbang rasa
dan amat pengasihan belas kepada sesama manusia. Manakah ada manusia
yang menjual barang-barang dagangannya dengan harga modal?
3. Sentiasa Senyum
Satu lagi daya penarik yang luar biasa yang telah menarik para pembeli
untuk mendekati barang-barang Nabi ialah sikap dan wajah Baginda semasa
berjualan itu. Selaku seorang insan yang sedia dijadikan Allah berwajah
kacak menawan dan gemar melemparkan senyuman kepada orang, maka Nabi
telah menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda
itu. Dengan wajah yang manis dan menawan dihiasi pula dengan senyuman
yang manis, pastilah keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah
seseorang itu semakin bertambah. Walaupun tutur kata tidak seberapa ,
tetapi para pelanggan tetap menggemari orang yang berwajah manis dan
selalu memberi senyuman kepada orang.
4. Jujur
Baginda bersabda, “Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan
bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang
yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi). Dalam konteks ini,
kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting
dalam perniagaan.Ketika kita berbincang mengenai perniagaan seorang
Muslim, kita sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan yang
membangunkan hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan
piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.
Pada suatu hari, Rasulullah berjalan-jalan di kawasan pasar bandar
Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual
buah-buahan yang dilonggok-longgokkan. Rasulullah memeriksa buah-buahan
itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan. Kemudian
Rasulullah menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah
kepada peniaga itu. “Apa ini saudara ?” tanya Rasulullah. “Terkena
hujan, tuan,” kata peniaga itu. “Mengapa saudara tidak letakkan
buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya
?” kata Rasulullah. Kemudian Baginda berkata lagi, “Barang siapa
menipu, dia bukan pengikut saya.”
5. Tidak Bersumpah Palsu
Dengan tegas, Rasulullah SAW mengecam amalan perdagangan yang dipenuhi
tipu daya. Apalagi sampai bersumpah palsu, mengandungi unsur riba atau
berbisnes di pasar gelap. Sebab, model menjalankan bisnes seperti itu
tak saja merugikan orang lain, tapi juga membuat perniagaan yang
dijalankan tidak lancar. Hal itu sebagaimana ditegaskan Rasulullah SAW
dalam sebuah hadis, “Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum
berpisah. Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang),
mereka akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka
bohong dan menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual-beli
mereka.” (HR. Muslim) Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat
untuk tidak melakukan sumpah, selain mengakibatkan kehilangan berkatnya.
6. Lemah Lembut
Baginda Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah
lembut ketika menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa
Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Allah SWT mencucuri rahmat
kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan
ketika ia membuat tuntutan.”
7. Bukan Mengejar Harta Semata-mata
Rasulullah SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda
menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan Baginda
tetapi juga untuk mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya
tampil ke hadapan untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh
Baginda bagi tujuan perniagaan.
Muamalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur
bantu membantu di kalangan mereka yang berada dan tidak berada. Firman
Allah SWT dalam surah Al Ma’idah ayat 2: Bermaksud: “Dan hendaklah kamu
bantu membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah
kamu sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan
permusuhan.”
8. Fasih Tutur Kata
Rasulullah SAW merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur
katanya. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong
dan sentiasa jujur. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Baginda
mengendalikan perniagaan harta Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan
yang banyak. Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan Baginda
yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah:
Bermaksud: “Adalah Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang
serta jelaslagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang
mendengarnya (duduk bersama Baginda).
9. Keuntungan Maksimum Adalah Mungkin
Walaupun ada ustaz (penceramah) yang mengatakan untung hanya boleh
diambil sekitar 30% sahaja, namun kata-kata Rasulullah SAW lebih utama
untuk kita jadikan pegangan. Terdapat satu hadis sahih yang
menceritakan, seorang sahabat Nabi membeli dua ekor kambing dengan 1
dinar. Kemudian, sahabat itu tadi menjual salah seekor kambing itu
dengan harga 1 dinar. Bermaksud, di tangannya ada seekor lagi kambing
dan wang sejumlah 1 dinar. Sahabat itu datang kepada Rasulullah dan
kemudian menyatakan apa yang telah beliau lakukan (menjual dengan cara
begitu). Rasulullah tidak berkata apa-apa melainkan mendoakan agar
sahabatnya itu mendapat keberkatan dalam perniagaan yang dilakukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan