Ilmu dan pengetahuan tentang pengurusan kewangan sudah diterapakan sejak kecil lagi. Namun, masih terdapat individu yang sukar untuk membuat simpanan yang mencukupi. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan rakyat Malaysia sukar untuk buat simpanan walaupun mereka sendiri tahu kepentingan membuat simpanan itu.
1. Simpanan tiada matlamat
Terdapat individu yang mempunyai simpanan yang banyak tetapi habis dalam masa yang singkat dan untuk tujuan yang tidak bermanfaat. Perkara seperti ini berlaku disebabkan oleh simpanan yang dilakukan tidak mempunyai matlamat.
Antara contoh matlamat simpanan adalah seperti simpanan kecemasan, simpanan pendidikan, simpanan persaraan dan lain-lain lagi. Matlamat simpanan ini bagi mengelakkan wang tersebut tidak digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah.
2. Simpan berlebihan
Simpanan yang terlalu banyak serta membebankan juga membuatkan individu mudah merasa bosan. Konsep simpanan yang betul adalah sedikit tetapi secara tetap setiap bulan. Oleh itu, kaedah terbaik untuk buat simpanan adalah melalui autodebit akaun simpanan anda ke akaun Tabung Haji atau unit trust.
3. Hanya menyimpan selepas berbelanja
Masalah lain yang serig dihadapi adalah kerana tidak mempunyai wang lebih untuk membuat simpanan. Kaedah simpanan yang perlu diterapkan adalah asingkan dahulu wang simpanan sebelum mula berbelanja.
Apabila gaji mula masuk ke dalam akaun bank, asingkan dahulu duit simpanan. Lebihan dari wang tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan bulanan.
4. Tidak buat bajet
Individu yang dapat menguruskan wang dengan baik biasanya mempunyai bajet kewangan mereka sendiri setiap bulan. Mereka tahu jumlah yang perlu dibelanjakan untuk tujuan peribadi, pelaburan dan lain-lain lagi. Bajet bulanan yang dilakukan penting bagi mengelakkan masalah kebocoran wang.
5. Persekitaran
Faktor lain yang memainkan peranan penting dalam membuat simpanan adalah faktor persekitaran seperti ahli keluarga dan rakan-rakan. Individu yang lahir dalam keluarga mempunyai sikap menyimpan dan pentingkan pengurusan kewangan biasanya tidak mempunyai masalah kewangan. Mereka lebih faham tentang pentingnya menyimpan dan lebih menghargai duit mereka.
Selain itu, rakan-rakan juga akan memberi kesan terhadap gaya perbelanjaan duit kita. Jika anda mempunyai rakan yang sering berbelanja mewah, ini mendorong anda untuk melakukan perkara yang sama.
6. Gagal kawal nafsu
Masalah kewangan biasanya hadir disebabkan oleh kegagalan mengawal nafsu berbelanja. Sebagai contoh, ramai yang menghilangkan rasa tertekan dengan melakukan aktiviti seperti berbelanja barang mewah, melancong atau pergi makan di restoran yang mahal.
Perkara seperti ini lebih menyukarkan individu tersebut untuk membuat simpanan setiap bulan.
7. Hobi yang mahal
Hobi yang mahal boleh dilakukan jika anda mampu untuk membuat simpanan setiap bulan. Jika aktiviti atau hobi yang mahal tersebut menyebabkan anda gagal membuat simpanan, anda mungkin terpaksa melupakan sementara hobi tersebut.
Lebih baik lagi jika hobi tersebut mampu mendatangkan manfaat atau pendapatan sampingan kepada diri anda.
8. Tidak percaya produk kewangan
Terdapat juga individu yang lebih gemar berbelanja berbanding menyimpan kerana mereka sendiri tidak percaya tentang kelebihan produk kewangan seperti Unit Trust, Pembiayaan ASB, Takaful dan lain-lain lagi. Kurangnya ilmu kewangan menyukarkan individu untuk melakukan simpanan secara tetap.
Selain itu, kurang minat terhadap pelaburan juga menjadi satu punca ramai yang masih kurang simpanan. Untuk melabur, setiap individu perlu menyediakan modal pelaburan secukupnya yang dikumpul melalui simpanan mereka sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan