Mana Lebih Baik: Beli Atau Sewa Rumah?
Keputusan untuk membeli rumah selalu menjadi dilema. Patut kah beli? Atau sewa rumah lebih baik? Sebenarnya keputusan sewa atau beli rumah ni bergantung kepada beberapa faktor. Ada beberapa keadaan, sewa rumah lebih baik daripada beli. Mari saya terangkan.
1) Bila Harga Rumah Terlalu Mahal Berbanding Kadar Sewa
Harga hartanah sekarang memang mencanak termasuklah harga pangsapuri dan kondominium.
Rumah teres lagi lah! Tidak kurang setengah juta ringgit dengan bayaran bulanan sekitar RM2,500.
Untuk orang muda yang baru sahaja bekerja atau berkeluarga, mesti terasa beban untuk bayar.
Ini pun belum lagi campur kos sampingan macam cukai pintu, cukai tanah dan boleh jadi yuran penyelenggaraan.
Jadi, apa kata sewa dulu.
Untuk rumah teres dua tingkat di area Penampang sekarang, kadar sewa sekitar RM1,800 sahaja berbanding beli, dengan bayaran bulanan RM2,800.
Jimat sekitar RM1,000 sebulan! Setahun RM12,000! Banyak tu.
Duit tu anda boleh guna untuk kegunaan yang lain atau menyimpan.
Walaupun ada yang kata “Takpa, rugi seribu sebulan awal-awal. Tahun depan harga naik puluhan ribu"
..tapi, realitinya pasaran sekarang…hampehhhh
2) Harga Hartanah Bukanlah Selalu Naik
Antara sebab kita beli rumah cepat sebab takut harga semakin naik. Contoh, rumah RM500,000 sekarang, boleh jadi RM550,000 tahun depan.
Tapi trend hartanah sekarang tidak sama macam 10 tahun dulu. Banyak tempat harganya kekal dan ada juga kawasan semakin turun kerana masalah tawaran lebih dari permintaan.
Banyak rumah tidak terjual.
Kalau anda beli rumah sekarang, belum tentu harganya akan naik dalam jangka pendek. Jadi, sewa rumah mungkin lebih berbaloi.
Cuma ingat. Janganlah menyewa terlalu lama. Pasaran mungkin perlahan sekarang, tapi bukan selamanya.
Jangan sampai harga hartanah melonjak tinggi tanpa kita sedar.
3) Anda Masih Belum Mampu Beli Rumah
Beli rumah melibatkan banyak belanja.
Deposit dan kos lain boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Contoh untuk rumah RM200,000. Anda kena sediakan sekitar RM26,000.
Besar jumlah tu. Apatah lagi kalau anda baru berkeluarga. Sesetengah kita ada juga komitmen untuk bantu mak ayah dan adik-beradik.
Dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang, tidaklah salah kita sewa dulu.
Bila menyewa kita hanya perlu sediakan sekitar 2.5 kali sewa bulanan untuk deposit. Deposit tu pun akan dikembalikan bila kontrak tamat.
Yang penting, kita menyimpan sedikit demi sedikit dan tanamkan azam untuk memiliki rumah suatu hari nanti.
4) Anda Belum Pasti Menetap Di Mana Dan Tidak Mahu Terikat
Sewa rumah berikan kita kebebasan untuk berpindah. Ideal untuk anda yang selalu kerja berpindah randah atau anda belum pasti di mana anda bakal menetap.
Berbeza dengan beli rumah, anda tidak ada fleksibiliti. Kalau terpaksa berpindah, satu hal pula terpaksa sewa atau jual rumah yang anda sudah beli.
Ini belum campur risiko beli rumah di lokasi yang salah.
Mungkin anda tidak jangka tiba-tiba ada pembangunan yang jadikan tempat tu tidak sesuai untuk diduduki. Atau anda tidak suka dengan suasana kejiranan.
Selain itu, kalau menyewa anda tidak perlu fikir tentang kos ubahsuai rumah dan juga penyelenggaraan. Cari saja rumah yang sesuai. Semua kos pemilik yang tanggung!
5) Anda Rasa Pelaburan Hartanah Bukan Untuk Anda
Rumah yang anda beli boleh jadi pelaburan jangka panjang. Rumah tu juga anda boleh sewakan kalau tidak ditinggal.
Tapi realitinya mau uruskan rumah sewa ni bukan senang.
Kalau tidak bernasib baik, bersedialah dengan karenah penyewa. Ada yang culas mau bayar sewa. Ada yang cerewet. Dan macam-macam ragam lagi.
Saya pernah urus rumah sewa sampai bateri remote TV pun dia minta kita ganti! 😅
Ada seorang klien saya, jual semua rumah sewa beliau sebab tidak tahan renyah. Selepas jual dia fokus kepada peluang bisnes yang dia lebih mahir.
Yang jelasnya, pelaburan hartanah ni bukan untuk semua orang dan ianya bukan satu-satu cara untuk kita bina aset.
Kalau ada peluang bisnes atau pelaburan lain yang beri pulangan lebih tinggi, kenapa tidak?
6) Kurang Risiko Kewangan
Sewa rumah juga jadikan anda kurang terdedah dengan risiko kewangan.
Beli rumah melalui pinjaman ni besar tanggungan kewangan tu. Mungkin bakal menyebabkan perubahan gaya hidup dan kita tak lagi mampu menyimpan.
Kadar keuntungan bank juga tidak tetap dan bayaran boleh meningkat bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.
Kalau kita tiba-tiba tidak mampu bayar akan jejaskan profil kewangan.
Lebih parah kalau bank ambil tindakan lelong dan saman kebankrapan
7) Anda Masih Belum Cukup Ilmu Beli Rumah
Beli rumah bukanlah terlalu susah, tapi anda perlu faham selok-beloknya!
Sebelum beli, uruskan kewangan peribadi anda. Pastikan anda beli rumah yang anda mampu bayar.
Dan mustahak juga anda kaji betul-betul apa yang anda beli. Dalam pasaran sekarang, ramai ‘jerung’ yang menunggu anda beli rumah dari mereka.
Sedangkan rumah mereka tu sebenarnya terlalu mahal dan tidak ada masa depan pun. Terutama rumah ‘under-construction’.
Oleh itu, kaji dulu sebelum bertindak. Elak scammer. Elak terjerat. Kalau belum yakin, tidak salah menyewa dahulu sambil kumpul ilmu dan kumpul wang.
Kesimpulan
Walau apa pun poin saya di atas, saya masih ingin tegaskan, untuk jangkamasa panjang, beli rumah adalah lebih baik.
Tapi soal bila anda patut beli tu, timbanglah masak-masak. Jangan beli sebab orang lain beli. Tapi beli sebab kita dah bersedia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan