Antara perkara yang sering kali difikirkan oleh pembeli hartanah kali pertama ialah memilih jenis kediaman yang mana hendak dibeli.
Perdebatan tentang apartment vs rumah kadang kala membuatkan ramai yang berbelah-bahagi dalam membuat keputusan untuk memiliki jenis kediaman mana yang bersesuaian.
Berikut adalah antara faktor-faktor yang boleh diambil kira bagi membuat keputusan anda:-
1. Faktor Kewangan.
Faktor terpenting yang perlu diambil kira ialah faktor kewangan pembeli. Bagi kediaman jenis rumah/rumah bertanah (landed house) kebiasaannya adalah lebih mahal dari apartment. Jika mengikut trend semasa juga, kadar sewa rumah bertanah biasanya jauh lebih rendah daripada kadar sewa kediaman jenis apartment berbanding kadar bayaran balik bulanan ke atas bank. Ia tidak menjadi masalah bagi mereka yang membeli kediaman jenis rumah bagi tujuan untuk mendiaminya sendiri bagi jangka masa yang panjang. Manakala bagi mereka yang membeli hartanah bagi tujuan menyewakan semula unit tersebut, haruslah memikirkan kesan ke atas aliran tunai anda kerana kadar sewa rumah yang lebih rendah berbanding kadar bayaran balik bulanan kepada pihak bank. Aliran tunai yang negatif perlu dititikberatkan kerana ia akan mengganggu wang poket anda sendiri pada akhirnya.
Sebagai contoh, sebuah rumah teres 2 tingkat di kawasan bandar bernilai sekitar RM500k-600k dan bayaran balik kepada bank adalah sekitar RM2500 – 3000. Dan kadar sewa yang maksimum bagi kawasan terbabit adalah sekitar RM1500. Maka aliran tunai anda akan menjadi negatif.
Walaubagaimanapun, mengikut lokasi rumah terbabit, di dalam jangka masa panjang, hartanah jenis rumah kebiasaannya mencatatkan kenaikan harga yang lebih pantas berbanding kediaman jenis apartment.
Manakala kediaman jenis apartment adalah sesuai bagi mereka yang tidak memiliki duit tunai yang banyak bagi menanggung kuasa pegangan (holding power) yang besar seperti pemilikan hartanah jenis rumah. Apartment juga sesuai dijadikan unit untuk sewaan semula kerana hartanah jenis ini sentiasa mendapat permintaan sewa yang tinggi, serta kadar sewanya lebih tinggi ke atas kadar bayaran balik bulanan kepada bank. Maka anda akan ada aliran tunai yang positif. Apartment juga merupakan jenis hartanah yang sesuai dijadikan sebagai pelaburan bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang pelaburan hartanah.
2. Faktor Pemilikan.
Bagi mereka yang cenderung untuk melihat faktor ini sebagai perkara utama, tentu sekali hartanah jenis rumah adalah kediaman yang paling sesuai dimiliki. Hartanah jenis rumah di dalam kebanyakan kes memiliki status freehold iaitu pegangan bebas (pegangan kekal). Manakala bagi hartanah jenis apartment, tidak semuanya memiliki status pegangan freehold. Kebanyakan apartment adalah berstatus leasehold atau pegangan pajakan misalnya bagi tempoh 99 tahun dan sebagainya.
3. Faktor Ruang.
Ruang juga memainkan peranan yang penting didalam membuat keputusan untuk membeli hartanah. Hartanah jenis rumah secara amnya adalah lebih besar dari hartanah jenis apartment. Bagi individu yang merancang untuk membina keluarga atau mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai, faktor ini haruslah difikirkan. Malah, hartanah jenis rumah memiliki ruang halaman di depan atau belakang (atau keduanya sekali) berbanding apartment yang kebiasaanya tidak memiliki ruang halaman.
4. Faktor Privasi.
Hak privasi merupakan satu lagi faktor yang menjadi penentu dalam pembelian hartanah. Hartanah jenis apartment, terutamanya apartment yang berkepadatan tinggi (high density apartment) mempunyai jumlah unit dan penduduk yang ramai berbanding sebuah kawasan taman perumahan. Bagi mereka yang gemar suasana yang kurang bising berbanding hiruk pikuk di kawasan apartment, hartanah jenis rumah adalah jenis kediaman yang sesuai untuk anda. Bagi hartanah jenis rumah, kemungkinan untuk anda memiliki jiran adalah pada unit sebelah kanan atau kiri serta hadapan dan belakang. Manakala di apartment, anda bakal memiliki jiran di atas, bawah, hadapan dan belakang!
5. Faktor Kemudahan & Gaya Hidup.
Bagi mereka yang mementingkan kemudahan dan fasiliti seperti gymnasium, kolam renang, padang tenis dan sebagainya, hartanah jenis apartment adalah sesuai untuk anda. Kebanyakan hartanah jenis apartment telah disediakan kemudahan dan fasiliti ini semua oleh pihak pemaju berbanding hartanah jenis rumah.
6. Faktor Keselamatan & Pemeliharaan.
Bagi hartanah jenis apartment, kebanyakan kos seperti kawalan keselamatan dan pemeliharaan seperti lif, lampu koridor, cat baharu bagi satu blok, pengurusan sampah sarap dan kebersihan dan sebagainya mesti ditanggung oleh penduduk. Walaupun terdapat banyak kos-kos sampingan pada hartanah jenis apartment, secara relatifnya, kadar bagi kos ini adalah lebih rendah berbanding kos pemeliharaan sebuah rumah dalam jangka masa yang panjang. Malah, bagi hartanah jenis apartment, terdapat badan pengurusan yang akan menguruskan soal-soal pemeliharaan dan keselamatan berbanding hartanah jenis rumah.
SEKIRANYA ANDA ADA HARTANAH SEPERTI RUMAH & TANAH ATAUPUN MENCARI HARTANAH UNTUK DIJUAL ATAU SEWA BOLEHLAH TERUS MENGHUBUNGI ATAU WHATSAPP SAYA @ 0167862587
Tiada ulasan:
Catat Ulasan