Isnin, 27 Februari 2017

MENGAPA RAKYAT MALAYSIA MASIH SUKAR MENERIMA TAKAFUL

Salah satu perkara asas dalam pengurusan kewangan adalah melindungi aset dan pendapatan sedia ada. Tujuan kita melindungi pendapatan dan aset adalah supaya kita masih lagi dapat meneruskan hidup walaupun mengalami masalah kesihatan.

Apa itu pelan perlindungan?

Kad perubatan / Medical card 
Bagi memastikan anda tidak menggunakan wang simpanan atau pelaburan jika terpaksa dimasukkan ke hospital.

Pampasan / Hibah 
Bagi memastikan waris, keluarga atau tanggungan anda mempunyai pendapatan jika anda pergi dahulu. Juga, memastikan anda mempunyai pendapatan walaupun anda dibuang kerja atas faktor kesihatan.Di Malaysia sendiri, masih ramai yang belum mempunyai pelan perlindungan atas sebab-sebab tertentu. Berikut adalah 5 sebab kenapa rakyat Malaysia masih gagal mempunyai pelan pelindungan walaupun sering dipaksa oleh ejen-ejen takaful yang berdaftar.

Pengurusan kewangan yang lemah

Ini adalah alasan paling utama rakyat Malaysia gagal mempunyai pelan perlindungan sendiri atau keluarga. Selain tiada simpanan, hutang yang sudah banyak juga menjadi sebab mereka tidak mempunyai 'tabung perlindungan' ini.

Ramai juga yang mempunyai gaji tinggi tetapi pada masa yang sama juga gagal untuk menyediakan pelan perlindungan kerana hutang dan komitmen yang tinggi.

Namun, sekarang sudah banyak pelan perlindungan yang dikeluarkan oleh kebanyakan syarikat takaful yang mampu milik. Dengan anggaran premium bawah RM100 sebulan, anda sudah boleh dapatkan kad perubatan atau medical card dengan had tahunan yang tinggi iaitu RM100,000.

Anda boleh dapatkan maklumat dari ejen yang berdaftar berhampiran kawasan anda.

Tiada kesedaran

Kenapa perlu ambil pelan perlindungan? Ramai yang ambil mudah tentang pelan perlindungan kerana tidak faham akan fungsi sebenar pelan pelrindungan ini. Ada juga yang menganggap ia hanyalah satu kerugian terutama apabila 'bayar setiap bulan tetapi tidak dapat apa-apa'.

Orang ramai biasanya hanya mula mendapat kesedaran apabila sudah sakit dan tidak mampu untuk menanggung kos perubatan. Selepas sakit, anda memang sudah tidak layak lagi untuk mengambil pelan perlindungan ini.

Kurang maklumat

Berdasarkan pengalaman beberapa orang ejen takaful, kebanyakan pelanggan sendiri tidak faham manfaat serta konsep pelan perlindungan. Apabila tidak mempunyai maklumat yang lengkap dan tepat, pelan perlindungan tidak menjadi satu perkara penting dalam pengurusan kewangan.

Selain itu, ramai juga individu yang tidak mahu meluangkan masa untuk mendengar taklimat atau penerangan yang diberikan oleh ejen takaful walaupun secara percuma.

Ejen takaful hanya mahukan duit anda? Ya betul. Ejen takaful hanya mahukan duit anda supaya diri dan keluarga anda dilindungi.

Pengalaman ditipu

Bayar RM200 setiap bulan, selepas 10 tahun dapat RM20,000. Kebanyakan golongan veteran tidak percaya terhadap pelan perlindungan kerana pernah ditipu oleh ejen takaful. Antaranya adalah seperti menjanjikan pulangan yang tinggi.

Selain itu, kegagalan mendapatkan manfaat  seperti yang 'diharapkan' juga menjadi punca ramai yang takut untuk mengambil pelan perlindungan. Terdapat segelintir ejen takaful yang gagal untuk menerangkan manfaat yang ditawarkan dengan tepat menjadi punca salah faham.

90% pelanggan tidak pernah baca polisi atau sijil takaful? Sikap malas untuk membaca menyebabkan pelanggan mudah untuk 'ditipu'.

Lambat dan mahal

Umur 40 baru mula merancang untuk ambil pelan perlindungan? Jangan terkejut jika premium yang terpaksa anda carum atau bayar setiap bulan adalah sangat mahal.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan premium caruman anda menjadi tinggi atau mahal :

Umur - semakin tua, semakin mahal

Jenis Pekerjaan - pekerjaan berisiko tinggi, lebih mahal

Merokok - Perokok lebih mahal

Jantina - Perempuan lebih mahal

Penyakit - Jika sudah mempunyai penyakit, lebih mahal

Ahad, 26 Februari 2017

Kadar Inflasi bulan depan dijangka naik

KADAR inflasi pada bulan depan dijangka naik akibat beberapa faktor seperti kenaikan minyak petrol, kekurangan tenaga kerja, penyusutan nilai ringgit dan kos pengangkutan.

Seperti yang dilaporkan dalam Nanyang Siang Pau, beberapa pakar ekonomi meramalkan, dalam tempoh tiga bulan akan datang, kadar inflasi di Malaysia dijangka naik melebihi empat peratus berbanding 3.2 peratus pada bulan lalu, yang mencatatkan kadar tertinggi sejak Februari 2016.

Menurut analisis dibuat pakar ekonomi, punca utama kenaikan kadar inflasi bulan lalu adalah disebabkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel sebanyak 20 sen dan ditambahkan dengan  penurunan nilai mata wang ringgit.

“Kenaikan harga minyak petrol dan diesel, serta nilai ringgit jatuh mendorong kebanyakan harga makanan naik secara mendadak, akhirnya inflasi turut meningkat,” kata seorang penganalisis kewangan kepada akhbar ini.

Beliau menjelaskan, sekiranya harga minyak petrol di pasaran antarabangsa berada di paras USD55 (RM244.94) setong, manakala nilai ringgit susut sehingga 4.40 berbanding USD  dan didorongkan lagi harga minyak petrol RON95 terus kekal RM2.30 seliter dalam dua bulan akan datang, adalah tidak mustahil kadar inflasi di Malaysia pada tempoh tiga bulan akan datang ini melebihi empat peratus.

Katanya, perkembangan yang berlaku sejak kebelakangan ini menyebabkan ramai syarikat pengurusan kewangan menyemak semula kadar inflasi umum melebihi tiga peratus bagi 2017, berbanding 2.5 peratus sebelumnya dan juga 2.1 peratus antara 2015 hingga 2016.

Jumaat, 24 Februari 2017

Dolar Singapura capai rekod tertinggi berbanding ringgit, lebihi paras RM3.16

SINGAPURA: Ringgit Malaysia mencecah paras terendah yang baru berbanding dolar Singapura hari ini, apabila ia mencecah paras RM3.16 dalam dagangan sekitar 11.00 pagi tadi (24 Feb), menurut data Bloomberg.

Paras dolar Singapura paling kukuh berbanding ringgit adalah pada sekitar 12.45 tengah hari, apabila S$1 diniagakan pada paras RM3.1687.

Bagaimanapun pada 5.00 petang tadi, kadar pertukaran kembali kepada paras RM3.163.

Nilai mata wang Asia didagang lebih tinggi hari ini, sedang ketidaktentuan menyelubungi butiran bagi pelan pembaharuan cukai oleh pentadbiran Trump, yang ditimbang pada dolar Amerika Syarikat. Dolar Singapura mencatat paras tertinggi pada 1.4041 berbanding dolar Amerika pada satu tahap, paras yang tertinggi sejak 10 November.

Dolar Amerika jatuh setelah Setiausaha Perbendaharaan Amerika Steven Mnuchin, dalam wawancaranya yang pertama kali disiarkan sejak menyandang jawtaan tersebut, menawarkan beberapa butiran baru tentang pelan pembaharuan cukai pentadbirannya.

Encik Mnuchin memberitahu Fox Business Network bahawa sebarang langkah dasar yang diambil oleh pentadbiran Trump mungkin akan ada kesan yang terhad tahun ini dan turut memberitahu CNBC bahawa beliau mahu melihat pembahuran cukai itu dikuatkuasakan sebelum jangka rehat Kongres pada Ogos.

Komen Encik Mnuchin memberi tanda tanya kepada para analisis sama ada butiran bagi pelan pembaharuan cukai itu akan dibentangkan apabila Presiden Donald Trump mengadakan satu sesi Kongres gabungan pada 28 Feb. 

Sumber : Berita Mediacorp

Untung sebelum cukai Maybank susut kepada RM8.8b

Untung sebelum cukai Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2016 susut kepada RM8.84 bilion daripada RM9.15 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2015.

Perolehan bagaimanapun, meningkat kepada RM44.66 bilion daripada RM40.56 bilion pada tahun kewangan 2015.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perbankan terbesar di Malaysia itu berkata keuntungan sebelum cukai bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2016 naik kepada RM2.87 bilion berbanding RM2.38 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama sebelumnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata keuntungan sebelum cukai yang rendah sedikit itu disebabkan oleh tambahan peruntukan pinjaman yang dibuat sepanjang tahun.

"Ini berikutan langkah proaktif kumpulan untuk menjadualkan dan menyusun semula kemudahan kredit pelanggan yang berpotensi mudah terjejas dengan keadaan ekonomi yang lembap," katanya.

Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata prestasi kumpulan jelas menunjukkan kekuatan dan daya tahannya meskipun persekitaran operasi yang tidak menentu terhasil daripada harga komoditi yang lemah dan pelbagai perkembangan geo-politik.

Beliau berkata saluran perniagaan bank yang pelbagai, kedudukan dan francais yang kukuh terus menyediakan peluang pertumbuhan perolehan dan memberikan nilai kepada pemegang saham.

"Memandangkan kita bakal berdepan tahun yang tidak menentu, kami berhasrat untuk terus menyokong pelanggan kami melalui tempoh ini di samping meneroka peluang pertumbuhan, terutamanya dalam segmen infrastruktur yang dijangka menjadi pemacu utama ekonomi serantau," katanya.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Farid Alias berkata bank terus mendapat manfaat daripada langkah berhemat yang diambil kumpulan setahun lalu untuk mengurus kualiti aset dengan lebih baik dan menyediakan penampan tambahan sekiranya berlaku kelembapan yang teruk, serta langkah kawalan untuk meningkatkan hasil dan disiplin dalam menguruskan kos.

"Walaupun kami menyaksikan pemulihan yang sederhana pada suku keempat tahun kewangan 2016, kami memilih untuk mengekalkan pendekatan berhati-hati dalam usaha terus menjadualkan dan menstruktur semula akaun yang boleh mengalami tekanan dalam jangka sederhana, memandangkan prospek mencabar di masa depan," katanya.

Bagi tahun penuh, pinjaman kasar kumpulan meningkat 5.7 peratus, dipacu oleh peningkatan 8.7 peratus dalam operasi di Indonesia, 6.3 peratus di Malaysia dan 4.5 peratus di Singapura.

Deposit juga kekal dalam trend meningkat yang mencerminkan kelebihan kumpulan di rantau ini, naik 5.2 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM521.4 bilion setakat Disember 2016.

Disiplin pengurusan aset dan liabiliti sepanjang tahun telah membolehkan kumpulan mengawal tekanan terhadap margin, menjadikan margin faedah bersih bagi tahun kewangan 2016 tuurn hanya empat mata asas kepada 2.27 peratus daripada 2.31 peratus tahuns ebelumnya.

Pada masa yang sama, kawalan kos yang ketat memastikan kenaikannya disekat pada kadar di bawah pertumbuhan perolehan, menjadikan nisbah kos kepada pendapatan kumpulan ke paras rendah dalam enam tahun pada 47.3 peratus.

Lembaga pengarah mencadangkan dividen single-tier akhir pada 32 sen sesaham.

Ia mengumumkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 78.1 peratus daripada keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2016, dengan hasil dividen sebanyak 6.3 peratus, antara tertinggi di rantau ini dalam kalangan kumpulan perbankan.

Perniagaan perbankan Islam kumpulan mencatatkan pertumbuhan yang baik dengan keuntungan sebelum cukai meningkat 13.4 peratus kepada RM1.95 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Etiqa Insurance & Takaful mencatatkan peningkatan kukuh dalam keuntungan sebelum cukai pada 34 peratus kepada RM809.7 juta berdasarkan kepada kenaikan 4.3 peratus dalam pendapatan operasi bersih kepada RM1.59 bilion.

PT Bank Maybank Indonesia Tbk mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti tertinggi sebanyak 1.9 trilion rupiah bagi tahun kewangan 2016, peningkatan 71 peratus berbanding 1.1 trilion rupiah yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Operasi Maybank di Indochina yang terdiri daripada Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar, menyaksikan keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2016 naik sebanyak 9.4 peratus kepada RM73.8 juta berbanding tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh kenaikan 16 peratus dalam pendapatan bersih kepada RM200.3 juta.

- Bernama

37,699 pekerja diberhenti pada 2016

Seramai 37,699 orang pekerja diberhentikan pada tahun lepas dengan 39.4 peratus diberhentikan secara pemberhentian sukarela (VSS) manakala 60.6 peratus melalui pemberhentian biasa.

Kementerian Sumber Manusia berkata berdasarkan statistik pemberhentian pekerja yang dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), majoriti pemberhentian melibatkan 32,552 pekerja tempatan (86.3 peratus) manakala bakinya merupakan pekerja asing.

"Jumlah pemberhentian pekerja bagi tahun lepas sebenarnya adalah lebih rendah berbanding 2015," kata kementerian itu dalam satu kenyataan semalam.

Katanya pada 2015, seramai 44,343 orang terlibat dengan 19,891 orang (44.9 peratus) melalui VSS dan 24,452 orang (55.1 peratus) melalui pemberhentian biasa.

Kementerian itu berkata pemberhentian tertinggi pada tahun lepas berlaku dalam sektor pembuatan iaitu 45.9 peratus diikuti sektor perdagangan borong dan runcit (20.7 peratus); kewangan dan insurans (12.1 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (6.6 peratus).

"Ini berbeza dengan pemberhentian bagi 2015 yang didominasi oleh sektor kewangan dan insurans (39.8 peratus); diikuti sektor pembuatan (20.8 peratus) dan sektor pengangkutan dan penyimpanan (14.7 peratus) berikutan isu pemberhentian pekerja oleh MAS," katanya.

Majikan diwajibkan memaklumkan kepada JTK satu bulan lebih awal jika ingin memberhentikan pekerja, kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu tindakan pemberhentian pekerja lazimnya berlaku akibat penutupan syarikat atau berlebihan pekerja antaranya kerana penyusunan semula syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi dan pengambilalihan syarikat.

Dalam menangani isu pemberhentian pekerja, kementerian itu menubuhkan 1Malaysia Outplacement Center (1MOC) di bawah Pembangunan Sumber Manusia Bhd yang bertindak sebagai pusat sehenti bagi pekerja warganegara yang diberhentikan kerja.

"Antara perkhidmatan yang disediakan ialah khidmat nasihat, kaunseling kerjaya dan perancangan serta sebagai platform bagi suai padan permohonan pekerjaan dan latihan bagi mempersiapkan mereka untuk kerjaya yang seterusnya," katanya.

- Bernama

Khamis, 23 Februari 2017

DI MANA KWSP LABURKAN DUIT CARUMAN KITA?

Menurut laman web KWSP, aset pelaburan KWSP setakat 31 Disember 2016 bernilai RM731.11 bilion berbanding jumlah simpanan ahli sebanyak RM704.27 bilion. Keuntungan pelaburan yang diperolehi selepas ditolak pelbagai kos pengurusan, diagih-agihkan maka dapatlah kita 5.7% tu.
Secara asasnya simpanan ahli KWSP dilaburkan dalam instrumen pelaburan seperti berikut:
  • Sekuriti Kerajaan Malaysia
  • Pinjaman, Debentur dan Bon-Bon
  • Saham-saham
  • Pasaran Wang
  • Hartanah

Maklumat ini juga boleh diperolehi di laman web KWSP.
KWSP merupakan pelabur utama dalam Bursa Malaysia dengan wajaran besar dalam saham perbankan, perladangan dan minyak dan gas, yang mencatatkan kerugian besar. Faham tak ni? Maksudnya KWSP juga jual beli saham syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia (melalui Panel Pelaburan KWSP).

“Eh, KWSP beli saham apa?”

Boleh rujuk jadual di bawah:

Setakat 30 September 2016

No.Share% Holding
1Malaysia Building Society Bhd65.40%
2RHB Bank Bhd40.85%
3Malaysian Resources Corp Bhd34.73%
4Alliance Financial Group Bhd16.65%
5UMW Holding Bhd16.21%
6Malayan Banking Bhd16.12%
7Tenaga Nasional Bhd15.38%
8MBM Resources Bhd15.35%
9Cimb Group Holding Bhd15.32%
10Axiata Group Bhd15.21%
11AMMB Holdings Bhd15.12%
12Telekom Malaysia Bhd15.00%
13IJM Corporation Bhd13.98%
14Media Prima Bhd13.86%
15Sapura-Kencana Petroleum Bhd13.64%
16Genting Plantations Bhd13.62%
17Malakoff Corporation Bhd13.61%
18United Plantations Bhd13.31%
19KPJ Healthcare Bhd12.75%
20Dialog Group Bhd12.74%
21IJM Plantations Bhd12.60%
22Hong Leong Bank Bhd12.56%
23BIMB Holdings Bhd12.53%
24Digi.com Bhd12.45%
25Sunway Reit Bhd12.26%
26Axis Real Estate Investment Bh12.26%
27Kuala Lumpur Kepong Bhd12.23%
28Cahya Mata Sarawak Bhd12.17%
29Malaysia Airports Hlds Bhd12.06%
30Public Bank Bhd11.82%
KWSP juga mempunyai pelaburan dalam pembangunan hartanah dan saham prasarana termasuklah AS, United Kingdom dan Eropah.
Baru-baru ini KWSP juga telah melabur dalam projek infrastruktur sebagai alternatif. Terkini KWSP telah membeli 40% kepentingan dalam Nuzen Corporation Sdn Bhd (Nuzen), pemegang konsesi Duta-Ulu Kelang Expressway (Duke) bernilai RM1.13 bilion. Nuzen yang juga anak syarikat milik penuh Ekovest Bhd memeterai terma persetujuan bersama dengan KWSP bagi melupuskan kepentingannya dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi).

“Owh, baru tahu KWSP melabur dalam saham syarikat-syarikat ni..”

Bukan KWSP je boleh. Kita sebagai rakyat biasa juga boleh jual beli saham yang tersenarai di atas tu dan buat untung (pilih yang patuh syariah saja ok). Nak jual beli saham syarikat lain pun boleh, tak semestinya apa yang KWSP beli tu ‘bagus’.
Janji kalau nak terlibat dalam pelaburan saham kena ada akaun saham (CDS). Boleh baca di sini jika berminat nak tahu cara buka akaun CDS.
Kalau tak berani ambil risiko, jangan gatal nak terlibat. Ada cara lain, Pak Teh cadangkan kau melabur dalam Unit Trust guna Akaun I KWSP. Pelaburan jenis ini tetap berisiko tetapi kau tak pening kepala. Banyak dana patuh syariah di luar sana tu. Sama juga ceritanya, duit kau tu mereka akan tolong laburkan dalam Bursa Malaysia juga.

“Eh, bukan kena ada modal besar ke nak melabur saham ni?”

Itulah skeptikalnya orang kita. Suka sangat dengar cakap orang. Tahu tak saham bawah RM1 yang bagus-bagus pun banyak tersenarai? Boleh lihat senarai saham syarikat yang tersenarai di Bursa Market Place.
Bila dah pandai jual beli saham nanti nak dapat pulangan banyak mana pun boleh sebab kau sendiri yang pilih nak melabur di mana dan berapa lama. Untung rugi duit sendiri!

Sabtu, 18 Februari 2017

KWSP Isytihar 5.7% Bagi Agihan Dividen 2016

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 5.70 peratus bagi 2016, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion, satu pencapaian yang baik walaupun berdepan dengan keadaan pasaran yang sukar.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata KWSP gembira kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.

"Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.

"Ini merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar. Bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa tahun tersebut, Samsudin berkata, KWSP berhadapan dengan persekitaran pelaburan yang mencabar berikutan berlakunya peristiwa yang membimbangkan seperti Brexit dan pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat.

Sepanjang 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang kurang memberangsangkan selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak, nilai matawang domestik yang lemah serta aliran keluar modal yang tinggi dari pasaran negara membangun kepada pasaran negara maju dan kepada matawang yang lebih selamat, katanya.

"Majoriti pasaran dunia mengalami penyusutan pada awal 2016 sekali gus menjejaskan prestasi KWSP. Bagaimanapun, kami telah menggiatkan aktiviti pengambilan untung bermula suku tahun kedua (S2 2016) agar dapat mencapai sasaran strategik kami," katanya.

Bagi 2016, amaun pendapatan yang diagihkan sebagai dividen adalah lebih tinggi daripada amaun yang diagihkan pada 2014 walaupun kadar dividen pada 2014 lebih tinggi pada 6.75 peratus.

Beliau berkata ini berikutan jumlah pengagihan untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2016 adalah RM6.51 bilion berbanding RM5.43 bilion pada 2014.

Jumlah yang diperlukan untuk pengagihan setiap satu peratus kadar dividen terus meningkat sebanyak 9.5 peratus setahun sejak 2001 selaras dengan pertumbuhan baki simpanan ahli untuk tempoh yang sama.

"Sejak krisis kewangan global pada 2008, KWSP telah mengagihkan RM236.07 bilion dividen kepada ahlinya," katanya.

Pembayaran dividen diperoleh daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Mengulas tentang keadaan ekonomi pada 2017, Samsudin berkata, ketidaktentuan pasaran akan terus menjadi kebimbangan kerana implikasi sebenar daripada Brexit dan hala tuju polisi yang jelas di bawah pentadbiran Trump masih belum terungkai.

"Strategi pempelbagaian kami terbukti berkesan terutamanya di waktu sukar, dan kami akan terus meningkatkan pendedahan kepada pelaburan alternatif terutamanya dalam hartanah dan infrastruktur selari dengan objektif kami sebagai pelabur jangka panjang untuk memberikan pulangan yang konsisten kepada ahli.

"Kelas aset ini juga bertindak sebagai instrumen lindung nilai semulajadi terhadap inflasi," katanya.

Bermula 2017, prestasi KWSP akan dilaporkan mengikut Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi pengumuman prestasi suku tahun dan tahunan.

Sehingga 23 Disember 2016, sebanyak 635,037 ahli telah bertukar ke Simpanan Syariah, dengan penggunaan peruntukan sebanyak RM59.03 bilion daripada peruntukan RM100 bilion yang ditawarkan.

Ahli-ahli boleh menyemak pengkreditan dividen 2016 melalui penyata KWSP mereka bermula Ahad, 19 Februari 2017, melalui i-Akaun di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

Selain itu, ahli juga boleh mendapatkan penyata KWSP melalui Kios KWSP atau hadir ke mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

- Bernama

Khamis, 16 Februari 2017

DIVIDEN KWSP DIUMUM MINGGU INI

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen tahun penuhnya bagi 2016 pada hujung minggu ini. 

Bagi 2015, dana pencen itu mengisytiharkan dividen 6.4 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM38.24 bilion.

Bagi 2016, dividen yang diberikan pastinya mencerminkan sentimen lemah dalampasaran domestik dan ekuiti asing.

Hampir setiap dana pencen dan pelaburan terjejas akibat daripada kesan penurunan harga minyak dunia yang jatuh ke paras paling rendah dalam sejarah pada US$28 (US$1 = RM4.44) setong pada Januari, ditambah dengan penyusutan nilai ringgit yang ketara dan referendum 'Brexit' (Britain keluar dari Kesatuan Eropah). 

KWSP juga turut terkena tempiasnya kerana ia merupakan pelabur utama dalam Bursa Malaysia dengan wajaran besar dalam saham perbankan, perladangan dan minyak dan gas, yang mencatatkan kerugian besar. 

Namun, meskipun cabaran-cabaran ini, KWSP dijangka mengisytiharkan kadar dividen hampir enam peratus.  
Para penganalisis pasaran berkata ia akan memberikan pulangan yang baik kepada pencarum. 

Pandangan jauh dana itu dalam meneruskan pelaburan portfolio pelbagai yang termasuk aset asing memastikan ia berada di kedudukan kukuh untuk meraih pulangan yang baik seperti tahun lepas walaupun berdepan cabaran. 

Penganalisis berkata dividen KWSP akan lebih baik berbanding dana domestik lain, hasil daripada aset asingnya yang walaupun terdiri 28-29 peratus daripada portfolio pelaburan, akan menyumbang 39-40 peratus kepada pendapatan. 

Pendek kata, pelaburan luar negara terus mengukuhkan pulangannya. 

Melihatkan kepada dana-dana di seluruh dunia, mendapatkan hasil merupakan satu cabaran yang besar dalam keadaan pertumbuhan perlahan dan persekitaran kadar faedah rendah. 

Bagaimanapun, dari segi pulangan jangka pendek dan jangka panjang yang konsisten, penganalisis menyatakan tidak ramai yang mampu mengatasi KWSP kerana dana itu tidak mengalami tahun yang sukar.  Meskipun suku pertama 2016 merupakan tempoh yang sukar bagi ekuiti, ekonomi mula pulih pada separuh kedua dan kemudiannya, keputusan kewangan suku ketiga bagi KWSP meningkat. 

Keputusan suku keempat akan diumumkan dalam sidang akhbar pada Isnin depan bersama dengan keputusan tahun penuh selepas pengumuman dividen pada hujung minggu ini. 

Ironinya, meskipun ia merupakan suku akhir yang membimbangkan, memandangkan kecenderungan bakal presiden Amerika Syarikat (AS) pada masa itu, Donald Trump, mengeluarkan kenyataan kontroversi, pasaran AS terus mencatatkan peningkatan yang membantu meningkatkan operasi global dan pendapatan KWSP. 

Pasaran ekuiti menarik yang mana KWSP meraih pulangan stabil menerusi pelaburan dalam pembangunan hartanah dan saham prasarana termasuklah AS, United Kingdom dan Eropah. 

Menurut para penganalisis, pendapatan kasar KWSP bagi 2016 dijangka lebih tinggi berbanding 2015, tetapi disebabkan Bursa Malaysia mencatatkan prestasi lemah tahun lepas, KWSP meningkatkan peruntukannya bagi ekuiti di Malaysia. 

Justeru, pencarum perlu menerima hakikat bahawa penurunan dividen akan menjadi satu perkara 'normal yang baharu' memandangkan keadaan tahun lepas. 

Pencarum masih menaruh kepercayaan terhadap KWSP yang, selain menyediakan perkhidmatan terbaik, sentiasa mengamalkan pendekatan berhemat dalam pelaburannya dengan aset selamat merupakan ramuan utama portfolionya secara keseluruhan. 

Kaji selidik kepuasan pelanggan yang dijalankan beberapa tahun lepas menunjukkan 94.74 peratus pelanggan KWSP berpuas hati dengan perkhidmatannya.

Oleh itu, apa juga dividen yang diumumkan KWSP pada hujung minggu ini, ia adalah satu yang realistik berdasarkan keadaan pasaran dan dengan mengambil kira kepentingan pencarumnya. - Bernama

Bagaimana Memiliki Perumahan PR1MA

Skim PR1MA diwujudkan bagi membantu golongan yang bergaji antara RM2,500 hingga RM10,000.

Skim ini diwujudkan adalah untuk membantu golongan sederhana untuk memiliki rumah pertama.

Harga rumah yang ditawarkan pula adalah di antara RM100,000 hingga RM400,000 mengikut jenis rumah dan juga lokasi rumah.

Syarat-syarat utama untuk memohon PR1MA adalah:

1. Warganegara Malaysia
2. Bujang atau berkahwin
3. Berumur 21 tahun ke atas
4. Pendapatan individu atau isi rumah (berkahwin) antara RM2,500 hingga RM10,000
5. Tidak memiliki lebih dari 1 hartanah (Individu atau Pasangan)

Jika anda sudah layak syarat-syarat diatas, anda boleh memohon mengikut langkah-langkah berikut:

1. Pendaftaran
Daftar maklumat diri anda dan muat naik semua dokumen yang diperlukan di sini PR1MA. Selepas daftar, anda akan terima nombor rujukan PR1MA.

2. Pelancaran
Anda akan terima maklumat berkenaan projek perumahan yang berada di lokasi pilihan anda.

3. Permohonan
Anda perlu memohon projek PR1MA yang telah dibuka berdasarkan projek yang anda pilih.

4. Pengundian
Proses cabutan undian akan dilakukan untuk pemohon yang berjaya dan melepasi syarat yang ditetapkan.

5. Pengesahan
Sekiranya berjaya dalam proses pengundian, anda akan diminta untuk menyerahkan dokumen untuk tujuan pengesahan.

6. Peruntukan unit.
Anda boleh memilih unit yang dikehendaki sekiranya masih terdapat kekosongan.

7. Pembiayaan
Anda boleh memohon pembiayaan dengan bank yang menjadi panel skim PR1MA seperti Maybank, MBSB, Bank Rakyat, BSN, Bank Islam dan RHB.

Sekiranya permohonan pembiayaan anda gagal, anda boleh memohon skim Rent-to-Own.

8. Perjanjian jual beli.
Perjanjian jual beli antara PR1MA dan pembeli akan ditandatangani.

9. Penyerahan Kunci
Kunci akan diserahkan kepada pemilik PR1MA selepas projek perumahan tersebut telah siap dibina dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan kediaman sudah diperolehi.

Jika anda layak untuk memohon skim PR1MA ini tetapi masih belum daftar, sila berbuat demikian.

Antara BR1M dan Kenaikan Harga Petrol

TAHUN 2017 sudah masuki sebulan setengah. Akibat daripada kesan kemelesetan tahun lalu, ekonomi negara kita nampaknya masih belum berada dalam kedudukan yang kukuh. Kata pakar ekonomi, tahun 2017 adalah tahun mencabar bagi Malaysia.

Apa tidaknya, belum habis tempoh dua bulan, macam-macam kita sudah dengar sama ada di warung kopi, pusat membeli belah, pejabat hatta di laman-laman sosial yang sentiasa online siang dan malam.

"Harga barang semakin hari semakin mahal! Harga minyak naik lagi! Kenapa kena bayar GST? Kenapa nilai ringgit jatuh lagi?..."

Semuanya bernada marah dan tidak puas hati tatkala cerita pasal harga barang naik. Ada yang marah kepada peniaga dan tidak kurang yang menuduh kerajaan kerana tidak bela rakyatnya. Kerajaan dikutuk sampai mahu tukar kerajaan baharu? Boleh. Kena tunggu pilihan raya sajalah!   

Siapa sebenarnya yang mampu mengatasi segala kemelesetan ini? Ahli perniagaan? Ahli ekonomi? Perdana Menteri dan jemaah Kabinet? Atau kita-kita sendiri sebagai rakyat biasa yang sentiasa mengharap ada sinar di hujung terowong?

Kenapa Malaysia sudah menjadi sedemikian rupa? Tidak keterlaluan kalau mengatakan rakyat jelata, terutama sekali golongan bawah dan pertengahan paling terkesan serta tertekan dihimpit kos hidup yang terlampau tinggi seperti apa yang dialami pada hari ini.

Rakyat mahu harga minyak petrol seboleh-bolehnya diturunkan lagi. Menteri kata, kerajaan sedia tambahkan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kalau harga minyak petrol naik sampai RM3 seliter. Kalau diberi pilihan, rakyat tentunya mahu harga petrol turun daripada tambah wang BR1M !

Perlu ingat, bukan semua rakyat berhak dapat BR1M. Sebaliknya, semua rakyat akan menderita apabila harga minyak petrol naik !

Selagi keadaan ekonomi terus merudum, selagi itulah golongan yang berpendapatan kecil tidak termampu mengimbangi kadar kenaikan harga barang dan perbelanjaan harian yang terus meningkat.

Bagi yang memiliki kereta, mereka bukan sahaja terpaksa membeli barang keperluan dengan harga yang lebih mahal, malahan tertekan pula harga minyak petrol yang sudah naik 40 sen seliter dalam tempoh dua bulan terakhir ini. Itu pun bayaran tol belum dikira lagi.

Yang tidak ada motosikal atau kereta, terpaksalah naik bas, teksi atau LRT. Harga tambang pun bukan main mahal lagi untuk ditanggung oleh golongan yang kurang berkemampuan seperti mereka.

Kerajaan memang menyedari keadaan dialami golongan kurang berpendapatan ini.

Maka diperkenalkan pemberian wang seperti BR1M dan menyediakan kos rumah murah, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) untuk membolehkan golongan ini menikmati kehidupan dengan senang.

Namun, soalnya, apakah wang BR1M ini cukup untuk membayar perbelanjaan harian? Apakah rumah Prima disediakan dengan secukupnya kepada semua golongan yang memerlukan? Sudah semestinya tidak.

Yang paling mendukacitakan adalah golongan pertengahan. Mereka tidak boleh mohon BR1M mahupun Prima kerana tidak cukup syarat. Mereka nak kata kaya, tidaklah kaya sangat; nak kata miskin, tidaklah miskin sampai papa kedana.

Bukan kerajaan tidak sedia bantu, namun setiap kali bajet dibentangkan di parlimen, setiap kali itulah mereka pasti terpinggir dan tidak dapat apa-apa!

Barangkali golongan inilah yang menjadi majoriti yang paling kerap mengeluh, marah dan membidas kerajaan kerana mendakwa mereka sentiasa dianaktirikan oleh kerajaan. Kerajaan perlu sedia mendengar suara hati golongan ini, yang kebanyakannya adalah terdiri daripada 'golongan miskin bandar'.

Sebagai manusia, kita sentiasa inginkan kehidupan boleh berubah menjadi lebih baik. Selain bekerja keras menambahkan pendapatan, harapan juga disandarkan kepada kerajaan.

Pada kerajaanlah rakyat harapkan. Rakyat mahu harga barang makanan dan apa juga barang keperluan jangan naik dengan sewenang-wenangnya. Tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab perlu dikenakan.

Belum habis dicengkam dan diterkam masalah kenaikan harga barang dan minyak petrol, datang pula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dipercayai mampu membawa hasil pendapatan yang tinggi kepada negara.

Pada tahun lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mengutip hasil GST sebanyak RM41.2 bilion, berbanding dengan sasaran yang ditetapkan iaitu RM39 bilion.

Tahun 2017, sasarannya ialah antara RM40 bilion hingga RM42 bilion. Pada tahun 2015, kerajaan berjaya memperoleh hasil GST sebanyak RM27.1 bilion hanya dalam tempoh sembilan bulan.

Maka ahli-ahli politik pembangkang dan rakyat jelata pun tertanya-tanyalah kerajaan sepatutnya banyak wang tetapi kenapa taraf hidup rakyat masih gagal ditingkatkan.

 Itu belum dicampurkan lagi wang hasil pendapatan melalui Petronas. Jika dicampurkan hasil Petronas pada tahun lalu, iaitu sebanyak RM31.7 bilion dan GST RM41.2 bilion, kerajaan sudah ada RM72.9 bilion. Namun, rakyat terus merungut - negara dapat duit banyak sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat.

Sesebuah kerajaan akan terus disokong dan tidak perlu bimbang kalah pada pilihan raya sekiranya ia benar-benar berkhidmat serta berprihatin terhadap nasib rakyatnya.

Dari segi kemudahan awam, lalu lintas, kos hidup, keharmonian masyarakat, kebersihan, jenayah hinggalah kepada suasana politik, sekiranya kerajaan dapat mewujudkan persekitaran yang terpuji, nescaya bukan sahaja rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, malahan negara akan terus maju dan dihormati.

Inilah harapan rakyat Malaysia kepada kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malangnya, ketika suasana ekonomi negara sedang bergelut untuk berada di landasan yang kukuh, masalah rasuah pula semakin hari semakin serius sehingga gagal dikawal.

Harapkan pegar, pegar makan padi. Bukan sahaja semakin ramai ketua dan pegawai tinggi jabatan kerajaan yang ditahan membabitkan kesalahan, malahan jumlah wang suapan mencecah jutaan ringgit dengan bersembunyi di dalam rumah sendiri.

Harapkan pegar, pegar makan padi. Bukan sahaja semakin ramai ketua dan pegawai tinggi jabatan kerajaan yang ditahan membabitkan kesalahan, malahan jumlah wang suapan mencecah jutaan ringgit dengan bersembunyi di dalam rumah sendiri.

Bukan itu sahaja, rumah, kereta mewah dan pelbagai barangan kemas turut dibeli dengan menggunakan 'wang haram' yang diperoleh.

Maruah dan imej negara semestinya tercalar setiap kali pendedahan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Rakyat pastinya tidak mampu menanggung malu lagi.

Sementara rakyat terus bertungkus-lumus mencari rezeki, kerajaan juga mesti berusaha menaikkan taraf hidup rakyat. Kerajaan yang gagal bakal mengalami nasib buruk apabila rakyat membuat pilihan pada pilihan raya umum.

Ramai yang ternanti-nanti bila pilihan raya akan diadakan? Ketika negara bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke 60 tahun pada tahun ini, timbul dua pertanyaan yang sedang bermain di fikiran.

Pertama, mampukah BN mempertahankan tampuk pemerintahan lagi dan kedua apakah nasib rakyat telah terbela oleh kerajaan selama ini?

Ibarat kata peribahasa, tepuk dada tanya selera.

Rabu, 15 Februari 2017

FAKTA 'TRASH DOVE' YANG SEDANG TULAR DI FACEBOOK

Burung ungu ni datang dari mana sebenarnya? Tiba-tiba newsfeed Facebook dibanjiri stiker burung ungu yang buat ‘head banging’ tanpa penat.

Stiker yang dinamakan ‘Trash Dove’ ini diilustrasi oleh illustrator dari US, Syd Weiler dan mula boleh dimuat turun penghujung Januari 2017.

‘Thrash Dove’ ini mula tular seantero dunia apabila munculnya video GIF yang menggabungkan aksi ‘head banging’ burung ini dengan aksi ‘dancing cat’ yang juga salah satu stiker di Facebook.

Video yang dihasilkan oleh pengguna facebook di Thailand itu mendapat lebih 4 juta view sejak disiarkan awal Februari. Mungkin ini antara punca fenomena ini mula merebak ke Malaysia.

Syd Weiler mendapat ilham menghasilkan stiker ini ketika melawat Minneapolis. Ketika duduk-duduk di tepi kolam di sana, beliau melihat burung merpati yang banyak di situ.

Beliau tidak pernah menyangka, burung merpati mempunyai karakter yang melucukan. Dia memerhatikan bagaimana burung-burung ini mencari makan. Ada antaranya mematuk roti dan ‘menyarungkan’ kepala dalam beg kertas ketika menyelongkar mencari makanan.

Jika anda perasan, salah satu stiker burung ini memegang bendera Thailand. Syd Weiler menghasilkannya sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Thailand yang mempopularkan watak ‘Trash Dove’.

Dalam ‘kecomelan’ watak ‘merpati sampah’ ni, ada juga yang mula melancarkan kempen meminta Facebook mengharamkan penggunaannya. Kononnya, ia mengganggu ‘perasaan’ mereka terutamanya jika digunakan di bahagian komen.

Buat masa ini Facebook masih belum mengambil apa-apa tindakan.

Bagi saya, watak ‘Trash Dove’ ini tidak bersalah. Yang ‘sengal’ adalah orang yang setiap kali kita mengharap komen yang serius tetapi dibalas dengan stiker ini.

Seperti stiker yang popular sebelum ini, apabila masa berlalu pergi, saya pasti burung ini juga akan dilupakan.

Sabtu, 11 Februari 2017

BR1M Ditambah Jika Minyak Naik

KERAJAAN sedia menambahkan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya harga minyak petrol melebihi paras RM3 seliter.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan, kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Golongan B40 terdiri daripada golongan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

"Kerajaan akan terus memantau harga minyak petrol di pasaran. Sekiranya harga terus meningkat dan pendapatan negara bertambah, kerajaan mungkin akan mempertimbangkan untuk terus membantu golongan yang berpendapatan rendah.

"Sekiranya harga minyak terus naik melebihi RM3 seliter, kami faham keadaan yang bakal dialami oleh golongan B40 ini. Kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme," kata Johari seperti yang dipetik dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurutnya, BR1M sebanyak RM1,200 pada masa itu tentunya tidak mencukupi lagi, oleh itu kerajaan akan meningkatkan jumlah bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. Bagaimanapun, sekiranya harga minyak merosot, kerajaan perlu mengambil semula BR1M. 

Johari turut berkata, kerajaan juga mengkaji pelaksanaan di beberapa negara maju dengan membiarkan harga minyak terapung dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.

“Apabila kerajaan membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada penggiat industri minyak dan gas mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, itu terpulang kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti. 

"Namun sebelum melaksanakannya, kerajaan perlu mengkaji apa kesan dan akibatnya kelak,” katanya.

Sabtu, 4 Februari 2017

Khasiat Minuman berkultur / Yogurt Untuk Anak

Pengambilan minuman berkultur / yogurt memang diketahui baik untuk kesihatan kerana ia minuman yang kaya dengan kandungan bakteria baik. Ketahui apakah kebaikannya :-

 1. Ia  berfungsi meningkatkan kesihatan saluran pencernaan kanak-kanak.

 2. Yogurt juga dapat membantu kanak-kanak supaya lebih kuat menahan serangan virus flu / Influenza.

 3. Menurut sebuah penyelidikan di University of Vienna, hasil kajian 4 auns yogurt yang diambil setiap hari akan membuat badan kanak-kanak memiliki sel T yang jauh lebih kuat dan lebih aktif daripada mereka yang jarang memakan yogurt. Sel T adalah sel kekebalan badan untuk melawan pelbagai jenis jangkitan.

4. Ia juga amat sesuai untuk si kecil anda yang mempunyai alergi. Penderita alergi biasanya memiliki kadar sel T rendah. Penderita alergi ini juga dapat manfaat daripada pengambilan yogurt secara teratur.

 5. Dalam sebuah penyelidikan lain yang diterbitkan oleh Journal of Nutrition, penderita alergi yang makan tujuh auns yogurt setiap hari, akan berkurangan kesan alahannya berbanding mereka yang langsung tidak memakan yogurt sama sekali.

 Jadi, ibubapa bolehlah laburkan sedikit wang untuk memberikan bekalan yogurt kepada si manja supaya sistem kekebalan badannya melawan pelbagai jenis jangkitan dapat ditingkatkan. Ia lebih jimat berbanding kerap membawanya mendapatkan rawatan perubatan.

RAMAI BAKAL KEHILANGAN KERJA

KETIKA keadaan ekonomi berada dalam kedudukan tidak menentu, adalah diramalkan lebih kurang 40,000 pekerja bakal kehilangan kerja, terutama dalam bidang kewangan, insurans dan pembinaan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan ketika memberitahu, China Press tahun lalu, bank dan institusi kewangan sudah mulai menamatkan perkhidmatan ramai pekerja mereka, dan dijangkakan jumlah pekerja yang terlibat dalam pemberhentian terus meningkat, sama ada kakitangan biasa ataupun berpangkat pegawai.

"Satu lagi punca bank dan institusi kewangan tidak memerlukan ramai pekerja mempunyai kaitan dengan kemajuan teknologi. Sebagai contoh dalam bidang jualan insurans, ramai pengguna kini lebih selesa membeli insurans melalui online kerana dapat menikmati potongan 10 peratus.

"Difahamkan, penjualan melalui online ini menerima sambutan menggalakkan dan tidak memerlukan ejen insurans lagi," katanya.

Menurut Shamsuddin, ekonomi yang merudum turut menyebabkan jualan rumah merosot dan ini mendorong sektor pembinaan bakal mengalami kerugian yang banyak.

"Sekiranya keadaan ini berterusan, syarikat-syarikat pemaju tidak mampu menjalankan projek dan pekerja yang terbabit dalam sektor perumahan turut terjejas," katanya.

Jumaat, 3 Februari 2017

TIDAK SEMUA PRODUK SUPPLIMEN SESUAI DENGAN BADAN KITA

Seperti kita ketahui, terdapat pelbagai jenis ubat dan supplimen diluar sana, ada yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, dan ada yang dijual secara haram.

Ada yang tidak mendapat kelulusan KKM, merbahaya sehingga boleh menyebabkan nyawa melayang,  namun masih ramai yang membelinya dari pasaran.

Jika anda mengalami sesuatu sakit, rujuklah kepada yang pakar iaitu doktor, mereka lebih tahu akan keadaan kita, apa yang boleh kita lakukan, bukan lebih percaya cakap jurujual yang tidak bertauliah. Kebanyakkan mereka hanya berpegang pada konsep komisen dan keuntungan.

Jom baca perkongsian Dr Rafidah Abdullah mengenai seorang rakannya yang juga merupakan pesakitnya, kerana terlalu percayakan jurujual ubatan & supplimen.

"Tak pasal-pasal leher saya kena tebuk"

56 tahun, MakCik ni baik orangnya, peramah. Anak-anaknya semua prihatin, sentiasa mengingatkan MakCik JANGAN ambil supplemen. Mereka juga staf bidang perubatan. 

Tapi MakCik ni tewas dengan godaan jurujual (dulu nya "rakan-rakan", sekarang mungkin tidak lagi). Beliau ada Kencing Manis, Darah Tinggi yg tidak berapa teruk selama setahun. Pertengahan tahun lepas, bacaan fungsi buah pinggang iaitu creatinine Makcik hanya 71 umol/L (normal), lepas tu bulan Disember naik 420. Masuk wad sesak nafas (air berlebihan dalam badan), kemudian naik 980 pertengahan bulan Januari 2017.

Dia dah tak tahan, terpaksa menjalani Dialisis. Untuk tujuan itu, beliau perlu "ditebuk" untuk diletakkan tiub Dialisis seperti gambar dibawah (gambar hiasan sahaja). Risiko prosedur ini tinggi, apatah lagi risiko menjalani Dialisis. 

Beliau pada masa itu tidak mengaku ambil supplemen tetapi bila jumpa kembali di klinik setelah seminggu discaj, beliau mengaku mengambil supplemen ******* bermula sejak 3 bulan yang lepas.

Sekarang MakCik menyesal, berjanji tidak mengambil apa-apa lagi selain dari ubat hospital. Alhamdulillah fungsi buah pinggang beliau hampir kembali normal 110 umol/L. Tiub leher pun dah dibuang, tidak perlu Dialisis lagi😊

Kenapa agaknya jurujual produk ni menggangu pesakit kronik, menjanjikan bulan dan bintang. Dia kaut untung, pesakit terseksa😂.

Saya akan meneruskan memberi kesedaran kepada masyarakat. Makcik ni bernasib baik; ramai lagi yg fungsi buah pinggang tidak kembali normal dan memerlukan Dialisis seumur hidup.

Beri lah kepercayaan penuh utk kami terus menolong anda. Jangan ambil risiko sebegini😭

#JanganKacauPesakitKronik

Dr Rafidah Abdullah
Pakar Buah Pinggang

SARI BERITA HANGAT TEMPATAN YANG PERLU ANDA TAHU.

1. Harga minyak dijangka naik lagi.

Pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan meramalkan harga minyak di Malaysia dijangka naik lagi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang. Berdasarkan perkembangan ekonomi hari ini, terdapat 2 punca utama kenaikan harga minyak di Malaysia.

Pertama adalah disebabkan faktor kenaikan harga minyak mentah di negara kita, dan yang kedua adalah disebabkan kadar pertukaran nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat. Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihati agar bersiap sedia berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar pada masa akan datang.

2. Harga rawatan gigi sah naik bulan hadapan.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan caj rawatan gigi akan mula dinaikan bermula pada 1 Mac 2017. Kadar terkini ini dinyatakan dalam surat pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan pada tarikh 26 Januari 2017.

Bagi perkhidmatan cabutan gigi yang dahulu dicaj RM1.00 akan dinaikan kepada RM15.00, manakala perkhidmatan mencuci gigi dinaikan daripada RM2.00 kepada RM55.00. Caj perkhidmatan tampalan pula meningkat daripada RM2.00 kepada RM25.00. Kenaikan harga terbaharu ini di antara RM14.00 sehingga RM53.00

3. Tan Sri Annuar Musa Digantung Tugas Dan Tampil Beri Keterangan Di SPRM Putrajaya.

Jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) digantung serta merta pada 31 Januari 2017 yang lepas setelah satu mesyuarat tergempar diadakan. Jawatan beliau sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) juga digantung berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Tugas beliau akan dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob. Sehubungan itu, Tan Sri Annuar Musa hari ini tampil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tepat pada jam 9 pagi.

4. Mangsa banjir mula bersihkan rumah.

Penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Muar, Johor hari ini dilaporkan sudah mula membersihkan kediaman masing-masing. Keadaan cuaca baik sejak minggu lalu menyebabkan keadaan banjir dan paras air di Sungai Muar kembali surut.

Penduduk yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir sejak 25 Januari lalu bagaimanapun mengakui, banjir kali ini tidak seteruk seperti yang berlaku pada tahun 2007.

5. Chatime Malaysia guna bahan yang tidak diluluskan

La Kaffa selaku syarikat pemilik frencais Taiwan, yang terkenal dengan rangkaian jualan minuman Chatime telah membatalkan perjanjian dengan syarikat Malaysia Loob Holding dari terus membawa jenama itu di Malaysia.

Melalui satu pendedahan yang dibuat oleh La Kaffa dalam portal berita ‘Chanel News Asia’ menyatakan, Loob Holding menggunakan bahan mentah yang bukan sebahagian daripada resepi yang diluluskan. Tindakan ini adalah kesalah yang serius dan mungkin boleh menjejaskan imej jenama itu.

Harga Minyak DIJANGKA akan Naik Lagi 2-3 Bulan Akan Datang

SEKIRANYA berdasarkan perkembangan ekonomi ketika ini, harga runcit petrol dan diesel dijangka terus meningkat dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan meramalkan, dua punca utama kenaikan harga minyak di Malaysia ialah pertama, kenaikan harga minyak mentah di negara kita dan kedua, kadar pertukaran nilai mata ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Kerajaan kita telah menetapkan harga runcit minyak petrol dan diesel bergantung kepada apungan terurus melalui harga purata bulanan pasaran minyak dunia, manakala harga minyak mentah adalah dikira dengan dolar Amerika Syarikat.

"Oleh itu, saya nasihatkan pengguna agar bersiap sedia menghadapi situasi yang lebih mencabar lagi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang," kata Tia Guan yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group.

Beliau berharap, kerajaan lebih bersikap prihatin dengan masalah rakyat yang dibebani dengan kenaikan harga minyak ini.

"Negara kita adalah negara pengeluar minyak. Kerajaan perlu menggunakan sumber pendapatan daripada hasil minyak mentah ini untuk menyediakan pelbagai infrastruktur, seperti sekolah dan jalan raya untuk kemudahan rakyat jelata. 

"Ketika kebanyakan harga barang telah naik, kerajaan seboleh-bolehnya perlu menyediakan subsidi ataupun bantuan kewangan agar dapat mengurangkan bebanan rakyat, khasnya golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Sin Chew Jit Poh.

Sementara itu, kadar bayaran untuk pengangkutan lori dijangka dinaikkan tidak lama lagi susulan kenaikan diesel sebanyak 10 sen seliter mulai 1 Februari lalu.

Persatuan pengusaha lori difahamkan terpaksa menaikkan kadar bayaran memandangkan penggunaan diesel merupakan 20 peratus daripada kos operasi mereka.
 

Khamis, 2 Februari 2017

CAJ RAWATAN HOSPITAL KERAJAAN MENINGKAT. 3 LANGKAH BOLEH KITA LAKUKAN.

Selain harga minyak yang naik, hari ini caj rawatan di hospital kerajaab juga turut naik.

Terdapat kenaikan sehingga satu kali ganda daripada sebelum ini. Kenaikan ketara ini dilihat dengan jelas bagi Kelas Pertama dan Kelas Kedua di perkhidmatan kesihatan awam. Walaupun kelihatan kecil ia memberi signal yang polisi kesihatan negara mungkin berubah ke arah rawatan berbayar berbanding subsidi pada masa akan datang.

Caj rawatan hospital bukan satu jumlah yang murah dan boleh kita tutup sebelah mata. Ia semakin mahal apabila penyakit semakin serius dan memerlukan prosedur yang memerlukan kepakaran.

Bagi pesakit kanak-kanak pula, kos maksimum perlu dibayar adalah RM500. Ia jumlah besar jika kita bergaji RM900/bulan.

Polisi ini mungkin berubah lagi.

3 Langkah boleh kita lakukan bagi menghadapi kenaikan ini.

1. Jaga Kesihatan

Terdapat beberapa penyakit yang boleh dielakkan dengan menjaga kesihatan kita. Kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi adalah penyakit yang diperoleh disebabkan oleh gaya hidup.

Makan makanan yang sihat. Jauhi makanan terproses yang kaya dengan transfat, tinggi gula dan garam, dipenuhi pewarna tiruan dan perasa tiruan.

Amalkan berpuasa. Sunnah itu pastinya ada penawar.

Berhenti merokok! Berhenti! Bukan sahaja diri sendiri yang sakit, tapi juga turut menyebabkan orang sekeliling kita turut terkena kesannya.

Kekal aktif. Bersukan, kerap berjalan, beriadah akan mengeluarkan hormon gembira. Hormon gembira membuatkan kita gembira dan menyebabkan kolesterol baik meningkat.

2. Simpanan

Wujudkan tabungan khas untuk kesihatan.

Namun melihat bagaimana jangkaan kos dari RM40K menjadi RM90K dalam masa beberapa hari memang menakutkan.

Hikmahnya begitulah, tertubuhnya Pertubuhan Kebajikan Sahabat Uwais, tempat kita ramai-ramai cari pahala.

This, Allah has planned earlier.

Akhirnya begitulah, selepas berusaha Allah jualah yang menentukan segalanya. Kerja kita usaha, kerja nak bagi sakit dan sembuh itu semuanya Allah jua.

Berkuatlah sahabat-sahabat di perkhidmatan yang cuba menerangkan kepada khalayak akan caj-caj ini. Ganbate!

3. Dapatkan Takaful

Carilah yang sesuai dengan poket kita. Ada yang serendah RM80/sebulan.

“10 tahun dah bayar, tak pernah guna lagi.”

Maknanya Allah berikan kita kesihatan. Kalau guna tu maknanya kita tak sihat.

Ada beberapa polisi murah. Semakin berusia, ada penyakit dan risiko pelbagai seperti obesiti dan merokok pasti menyebabkan bayaran insurans mahal.

Dapatkan Perlindungan Takaful Sekarang : KLIK SINI

4 Langkah Asingkan Duit Gaji Untuk Simpanan Melalui M2U

Adakah anda mempunyai masalah untuk membuat simpanan setiap bulan?

Jika jawapan anda adalah 'YA', kami ingin kongsikan 4 langkah mudah untuk anda asingkan duit gaji anda ke akaun M2U Savers-i.

Anda boleh buka akaun ini tanpa perlu hadir ke cawangan Maybank tetapi hanya perlu buka akaun melalui atas talian / online sahaja.

LANGKAH 1 : Masuk ke akaun M2U anda

LANGKAH 2: Klik 'Apply Online' dan 'M2U Savers-i

LANGKAH 3:Masukkan email dan jumlah deposit sebanyak RM250.

Deposit minimum untuk buka akaun adalah RM250 dan tidak boleh dikeluarkan. 

LANGKAH 4 : Sahkan maklumat anda dengan klik 'Confirm'

Selepas selesai 4 langkah mudah ini, anda akan lihat akaun M2U anda mempunyai dua (2) akaun yang berbeza.

Cara ini sesuai untuk mereka yang ingin buka akaun simpanan dan buat simpan setiap bulan hanya melalui online sahaja.

Namun, anda perlu lebih berhati-hati kerana jika anda buat transaksi di kaunter, anda akan dikenakan bayaran.