Selasa, 31 Januari 2017

FEBRUARY 2017 - PETROL & DIESEL PRICE UP AGAIN

Well, turns out the fuel price hike rumour was fake after all – the price of RON 95 will not see a 15 sen hike for February 2017. Instead, it will go up by 20 sen. That’s right, confirmed fuel prices have been announced, and they’re even higher than expected.

For the month of February 2017, RON 95 will be priced at RM2.30 per litre (up 20 sen compared to January 2017), RON 97 at RM2.60 per litre (up 20 sen), diesel at RM2.15 per litre (up 10 sen) and Euro 5 diesel at RM2.25 per litre (up 10 sen).

Just to put it all into perspective, RON 95 was priced as low as RM1.70 per litre as recently as September 2016. That’s a massive 60 sen jump in just five months.

Well anyway, Happy Chinese New Year & BR1M well everyone.

5 LANGKAH MENGGANDAKAN KEUNTUNGAN DALAM UNIT TRUST

Bagi memastikan anda mengoptimumkan pelaburan anda dalam unit trust, ini langkah-langkah yang patut anda ambil

1. Mula seawal mungkin
Mulakan pelaburan anda secepat mungkin. Jangan tangguh kononnya menunggu masa yang sesuai walhal anda sudah maklum bahawa pelaburan dalam unit trust asasnya lagi lama anda melabur lagi bagus pulangannya hasil daripada compounding interest. Apa tunggu lagi? Segera berjumpa dengan unit trust consultant yang dekat dengan anda.

2. Melabur secara konsisten dan berjadual
Teknik pelaburan ini banyak memberi manfaat kepada pelabur melalui Konsep Ringgit Cost Averaging di mana anda melabur tidak mengira harga share semasa. Dengan kata lain, anda membeli share dengan banyak ketika harga share jatuh, dan sebaliknya jika harga share meningkat anda membeli dengan jumlah yang sedikit.

3. Melabur untuk jangka masa panjang
Umum di ketahui pelaburan unit trust adalah untuk jangka masa yang panjang. Berdasarkan rekod yang ada, sememangnya menunjukkan pelaburan unit trust terbukti memberi pulangan yang signifikan dalam jangka masa yang panjang. Sebaliknya, pelaburan jangka masa pendek mungkin memberikan sedikit risiko berbanding dengan pelaburan-pelaburan tertentu ataupun simpanan tetap di institusi perbankan.

4. Pelbagaikan porfolio pelaburan anda 
Kepelbagaian @ diversification dalam portfolio pelaburan anda dapat mengimbangi risiko-risiko yang ada.  Sebagai contoh, ketika ekonomi merudum lazimnya bond lebih perform berbanding ekuiti dan begitu sebaliknya ketika ekonomi memuncak, selalunya ekuiti lebih perform  berbanding bond. Maka dalam jangka masa yang lama, diversification secara lazimnya memberi pulangan interest yang tinggi di samping mengurangkan dan mengimbangi risiko

5. Lakukan penilaian dan penambahbaikan
Lakukan penilaian dan penambahbaikan secara berkala supaya anda sentiasa mencapai objektif pelaburan@kewangan anda. Pastikan anda sentiasa mengoptimumkan pelaburan anda dalam unit trust.

Selamat Melabur!

TIPS MENSTABILKAN TEKANAN DARAH TINGGI

Selain menggunakan preskripsi ubat-ubatan, anda juga boleh menggunakan cara alternatif bagi menurunkan tekanan darah. Pelbagai petua tradisional daripada generasi terdahulu juga boleh dicuba.  Namun begitu walau pun ia tradisional dan tidak melibatkan bahan kimia dan dadah, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan doktor sebelum mencuba kerana khuatir ia akan mengganggu perkembangan janin dan kesihatan anda yang lain.

1. Ambil jus segar campuran belimbing dan epal hijau pada waktu pagi dan malam.

2.Minum air rendaman cincau sebanyak seliter sehari.

3.Saderi juga boleh menurunkan tekanan darah. Ambil sebagai snek atau ulam. Kisar empat batang saderi dengan sebiji epal hijau untuk dijadikan jus dan minum.

4.Air kelapa dalam kuantiti sederhana (satu hingga dua gelas) setiap hari boleh bertindak meredakan tekanan darah tinggi. Tetapi elakkan air kelapa pada trimester pertama untuk mengelakkan keguguran.

5.Selain saderi, mentimun juga boleh diambil sebagai jus, salad atau ulam tanpa kesan sampingan.

6.Jus ekstrak delima boleh menurunkan tekanan darah. Ambil dalam kuantiti kecil.

7.Madu juga memiliki efek melenturkan pembuluh darah dan membantu mengurangi tekanan darah dari jantung . Minum satu atau dua sudu makan madu semasa perut kosong. Elakkan petua ini jika anda mempunyai diabetes.

8.Makan empat ulas bawang putih secara mentah. Tetapi bagi ibu yang dijadualkan akan melahirkan secara pembedahan atau sedang berada trimester akhir, elakkan mengambil bawang putih berlebihan kerana ia boleh mencegah pembekuan darah.

9.Amalkan memakan satu hingga dua biji pisang sehari. Pisang mengandungi kalium yang boleh meredakan tekanan darah tinggi. Elakkan pisang jika anda mempunyai diabetes.

10.Kismis dan bijirin oat juga boleh dimasukkan dalam menu harian untuk kawalan tekanan darah yang berkesan.

Dahulunya Korea Selatan Lebih Miskin Daripada Malaysia

Antara tanda sesebuah negara itu mencapai status negara maju ialah dengan memiliki jenama antarabangsa sendiri seperti Samsung di Korea atau Toyota di Jepun dan Apple di USA.

Apakah jenama daripada Malaysia yang boleh masuk ke dalam rumah seluruh penduduk dunia seperti mana iPhone, dan Samsung serta mampu bersaing dengan jenama tempatan.

Artikel ini membawa perbandingan antara Korea Selatan dan Malaysia. Saya tertanya-tanya apakah kurangnya Malaysia untuk berjaya seperti Korea Selatan? Padahal sebelum 1985 pendapatan dan kuasa membeli Rakyat Malaysia adalah  lebih tinggi daripada Korea Selatan.

Malaysia dipintas oleh Korea Selatan sejak tahun 1985. Taiwan pula memintas Malaysia lebih awal pada tahun 1975 (sumber: IMF,The Leap of the Tiger: How Malaysia Can Escape the Middle-Income Trap)

Pemindahan Teknologi

Sebelum tahun 1985 Malaysia bergantung kepada hasil export komoditi. Berikutan kejatuhan harga komoditi dunia bermula pada tahun 1985, Malaysia ditranformasi kepada negara perindustrian.

Pada masa itu negara bergantung kepada pelaburan luar dan pemindahan teknologi. Technology Transfer melalui Dasar Pandang ke Timur diharapkan menjadi alat untuk membawa Malaysia ke status negara maju.

Namun, kajian menunjukkan syarikat multinational tidak berminat memindahkan teknologi mereka ke negara lain. Nyata sekali pemindahan teknologi tidak berlaku mengikut seperti yang kita rancangkan.

Tidak seperti Malaysia, Korea dan Taiwan tidak bergantung kepada pemindahan teknologi. Negara-negara ini belajar dan mencipta teknologi mereka sendiri.

Hinggakan mereka menguasai teknologi LED/LCD screen yang mendahului teknologi Jepun.

Buktinya, Korea menerima 50 patents pada tahun 1985 berbanding Malaysia kurang daripada 5 pada tahun yang sama Pada tahun 2013, Malaysia hanya menerima 220 patents sedangkan SAMSUNG sahaja menerima 4652 patents!

Inilah jawapannya kenapa kita gagal selama 30 tahun untuk bangkit seperti Korea.

Korea bukan tandingan Malaysia lagi. Mereka kini berada di liga lain. Kini kita bertungkus lumus untuk setanding dengan Indonesia, Myanmar dan Thailand.

Jumaat, 27 Januari 2017

Ang Pow BR1M Agihan Esok

PUTRAJAYA: Pembayaran pertama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun ini akan dibuat mulai esok.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.

"Bagi mereka yang tidak mengemukakan maklumat akaun bank, baucar BR1M akan diedarkan kepada penerima dan boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Husni berkata, pemberian BR1M bagi kategori isi rumah akan diagihkan dalam empat peringkat pada tahun ini iaitu pada 28 Januari (esok), 28 April, 23 Jun dan 28 September, manakala bagi kategori individu akan menerima bayaran penuh esok.

Peserta e-Kasih yang berpendapatan RM1,000 ke bawah akan menerima BR1M sebanyak RM1,050, isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah sebanyak RM1,000 dan isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 sebanyak RM800, manakala individu sebanyak RM400.

Beliau berkata, bagi Skim Khairat Kematian (SKK), bantuan sebanyak RM1,000 akan diberi kepada waris penerima BR1M di bawah kategori isi rumah dan warga emas.

"Tuntutan SKK boleh dibuat di mana-mana cawangan BSN dengan mengemukakan dokumen kematian yang sah dan kad pengenalan asal waris. Hanya waris yang dinamakan dalam borang saja yang layak untuk menuntut SKK.

"Bagi penerima yang belum mengemas kini maklumat waris, pengemaskinian boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhampiran," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta e-mel kepada br1m@treasury.gov.my.

Selasa, 24 Januari 2017

Tips Menjaga Buah Pinggang

1. Minum Air Kosong Dengan Banyak

Cecair yang banyak membantu membersihkan buah pinggang dengan efektif. Semua toksin yang terkumpul dalam badan akan dikeluarkan.
Minum air dengan banyak iaitu lebih daripada lapan gelas sehari jika cuaca panas. Minum air juga membantu mengatasi masalah batu karang.

2. Kurangkan Makanan Tinggi Gula dan Garam

Kurangkan pengambilan makanan sudah proses, tinggi kandungan gula dan garam.
Ambil lebih buah-buahan dan sayur-sayuran.

3. Banyakkan Minum Jus Epal

Selain air masak, elok juga amalkan minum air jus epal segar yang kaya dengan vitamin C untuk membersihkan buah pinggang.
Lagi bagus ‘blend’ sendiri kerana jika dibeli, kandungan gulanya pula tinggi.

4. Makan Buah Tembikai

Mengandungi banyak air, anda boleh juga amalkan makan buah tembikai untuk mencuci buah pinggang.
Lebih banyak anda berkumuh, lebih banyak toksin akan keluar daripada badan.

5. Masukkan Ikan Dalam Menu Harian

Makan ikan yang tinggi kandungan Omega-3 seperti salmon, kembung dan sardin.
Makanan ini mengandungi asid lemak yang baik untuk menjaga kesihatan buah pinggang.

6. Elak Merokok

Asap rokok boleh menyebabkan buah pinggang rosak.
Ia bukan saja memberi kesan kepada perokok tegar, tetapi juga kepada mereka yang sentiasa terdedah kepada asap rokok.
Jadi, sayangilah diri anda dan cuba elakkan merokok di tempat awam.

7. Jalani Hidup Yang Aktif

Selain mengawal makan, anda juga perlu selalu bersenam untuk mengelakkan obesiti yang boleh menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit.
Ini adalah kunci kepada pencegahan pelbagai penyakit!

Perlunya Menjaga Kesihatan Buah Pinggang Sejak Awal

Sementara ia masih berfungsi sepenuhnya, amalkan cara hidup yang sihat sedari awal. Sekali ia rosak, sudah tidak berguna lagi.

Belum memiliki Insurans / Takaful?
Dapatkan Free Quotation :
http://perundingtakafulsabah.blogspot.my/p/blog-page_79.html

Kenali Faktor Dan Tanda Awal Kanser Payudara

Bulan Oktober adalah Bulan Kesedaran Barah Payudara oleh itu kami ingin berkongsi dengan anda 5 tanda awal barah payudara dan 5 faktor kanser payudara yang patut anda tahu. Barah payudara merupakan pembunuh utama kaum hawa dengan hampir separuh dari wanita yang di diagnosis mengidap kanser payudara mendapat berita ini pada usia kurang dari 50 tahun. Bermaknanya ia boleh terkena kepada sesiapa sahaja, baik yang tua mahupun yang muda.

Apa sebenarnya barah payudara ini?

Barah merupakan antara kumpulan penyakit yang terjadi daripada tindakan sel yang bertindak di luar tabiat asalnya. Pada kelumrahan serta sifat sedia asalnya, sel-sel ini akan membuat pembahagian dengan kadar yang terkawal serta dihasilkan mengikut keperluan tubuh seseorang individu.

Apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ianya akan menghasilkan lebihan tisu. Lebihan tisu ini jugalah yang dikenali sebagai ketumbuhan. Ketumbuhan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis ketumbuhan iaitu benign (tumor bukan barah) dan malignan (tumor jenis barah). Jenis ketumbuhan yang pertama iaitu benign adalah merupakan ketumbuhan yang tidak membahayakan nyawa para penghidapnya. Hampir 80 peratus daripada para penghidap ketumbuhan payudara adalah dari kalangan mereka yang mengalami ketumbuhan jenis ini.

Barah payudara adalah merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada tindakan sel yang bermula dari bahagian payudara. Ianya berkembang melalui proses pembahagian yang melebihi kadar keperluan organ serta seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran. Sel-sel barah ini juga mampu untuk membebaskan dirinya daripada ketumbuhan asal sekali gus memasuki saluran darah serta sistem limfa. Inilah juga cara serta kaedah penyakit barah payudara menyerang bahagian-bahagian organ lain para penghidapnya. Proses penjangkitan ini juga dikenali sebagai metastasis.

Kanser payudara boleh dibahagikan kepada dua bentuk: invasif dan tidak invasif. Dalam kanser tidak invasif, sel-sel kanser hanya tertumpu di kawasan asalnya manakala di dalam kanser invasif, sel-sel kanser tersebut telah merebak ke tisu-tisu di sekeliling payudara.

Bagi payudara yang normal, sel-selnya mengalami pertumbuhan yang terkawal dan teratur. Hormon estrogen bertangungjawab dalam pertumbuhan dan pembentukan sel-sel payu dara. Ketidakimbangan hormon dikatakan memainkan peranan yang penting dalam patogenesis kanser. Walau bagaimanapun pelbagai pencetus pertumbuhan kanser dan onkogen terutamanya He-2/nev telah dikenalpasti sebagai penyebab kanser payu dara yang penting.

Onkogen merupakan gen yang mungkin bertanggungjawab dalam pembentukan sel kanser. Fungsi gen ini boleh berubah dan sel-sel boleh terpesong daripada proses kawalan pertumbuhan sel yang normal. Pembentukan kanser merupakan proses yang kompleks yang melibatkan pelbagai faktor lain seperti genetik, kawalatur hormon dan juga keadaan persekitaran.

Tahap Kanser Payudara

Tahap  1
Pada peringkat ini, ketumbuhan barah adalah dalam ukuran sebesar 2 cm ataupun kurang daripadanya. Dalam tahap ini, sasaran serangannya adalah terhad kepada bahagian payudara sahaja.

Tahap 2
Pada tahap serta peringkat yang kedua ini, ukuran ketumbuhan barah payudara akan meningkat antara 2 cm hingga 5 cm. Selain daripada bahagian payudara, ia turut menjadikan nodus limfa (yang terdapat pada bahagian bawah ketiak) sebagai sasaran serangannya.

Tahap 3
Saiz ketulan barah payudara berukuran 5 cm. Pada peringkat ini, barah payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit ataupun otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).

Tahap 4
Pada peringkat serta tahap ini, serangan barah ini akan menjalar kepada bahagian serta organ-organ yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara. Antara bahagian yang menjadi sasaran serangan barah payudara pada peringkat ini ialah nodus limfa pada leher, paru-paru, hepar ataupun tetulang penghidapnya.

Faktor Barah Payudara

1. Umur – umur merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Pesakit yang lebih tua memiliki risiko yang lebih tinggi. 1 daripada 500 wanita dalam umur 30’an mempunyai kebarangkalian yang tinggi mendapat kanser payu dara.

2. Sejarah keluarga – terdapat juga beberapa bukti bahawa penyakit ini boleh diwarisi tetapi peranan genetik di dalam hal ini masih belum difahami sepenuhnya. Wanita yang mempunyai ibu atau anak perempuan atau kakak/adik yang menghidap penyakit ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara

3. Sejarah mengidap kanser – pernah menghidap kanser payudara sebelum ini. Ini mungkin merupakan faktor yang penting dalam pembentukan kanser payudara.

4. Pernah menghidapi penyakit payudara benigna proliferatif

5. Wanita yang berasal dari Amerika Utara/Eropah Utara; insidens dan kematian disebabkan kanser payudara adalah lebih tinggi berbanding dengan negara-negara lain seperti Jepun

6. Mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur 50 tahun)

7. Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun.

Tanda barah payudara

Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, pengeluaran cecair lelehan dari puting, dan sakit atau ketidakselesaan di sekitar payu dara.Ketumbuhan yang terjadi pada pesakit merupakan perubahan utama yang dialami oleh pesakit. Ketumbuhan ini biasanya tidak sakit dan terdapat pada sebelah payudara sahaja. Ianya keras dan pejal dan memiliki tepian yang tidak licin.Lelehan yang keluar dari puting kadangkala mengandungi darah dan berair dan datang secara spontan tanpa sebarang rangsangan.Apabila kanser telah melarat dan memasuki peringkat yang lebih berbahaya, payudara dan puting akan mengalami perubahan bentuk. Akan terbentuk lekukan pada kulit payudara dan teksturnya kelihatan dan dirasai seperti kulit buah oren. Bentuk dan saiz payudara juga akan berubah.Ruam di bahagian ini dan persekitaran kulitnya juga boleh menjadi simptom serangan kanser payudara. Ruam di puting atau kawasan persekitaran puting boleh terjadi akibat daripada ekzema.

Mengesan kanser payudara

Mamografi

Mamografi biasanya dilakukan untuk menyokong pemeriksaan fizikal kerana proses ini mampu mengesan perubahan pada sel dan tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan melalui pemeriksaan fizikal yang menggunakan tangan. Mamografi adalah X-ray yang menghasilkan imej payudara pada filem. Imej yang terhasil ini dipanggil mamogram. Jika ada kawasan pada mamogram yang mencurigakan atau tidak jelas, pemeriksaan tambahan mungkin dijalankan.

Anda boleh lakukan pemeriksaan mamografi di hospital kerajaan dan juga swasta ( bayaran dikenakan ). Sempena bulan kesedaran kanser payudara, Philips Malaysia juga akan mengadakan pemeriksaan mamografi secara percuma di sebuah hospital di Shah Alam.

Ultrasonografi

Ultrasonografi menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk menentukan sifat ketumbuhan tersebut sama ada pepejal atau berisi bendalir.

Biopsi

Biopsi adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu-tisu kanser. Sedikit sampel tisu payudara diambil dan diperiksa menggunakan mikroskop.

Isnin, 23 Januari 2017

Hujan dijangka melanda pada Tahun Baru Cina

Beberapa negeri dijangka mengalami hujan pada sambutan Tahun Baru Cina, Sabtu dan Ahad ini.

Beberapa negeri dijangka mengalami hujan pada sambutan Tahun Baru Cina, Sabtu dan Ahad ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata keadaan itu disebabkan tiupan angin Timur Laut dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam yang dijangka melanda negara pada kedua-dua hari itu.

"Sehubungan itu, hujan di beberapa tempat dijangka berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, Barat Sarawak dan Timur Sabah pada sebelah pagi dan petang," menurut kenyataan itu.

Manakala hujan dan ribut petir di satu dua tempat boleh berlaku di negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung; Sabah (Bahagian Pedalaman, Pantai Barat dan Tawau); dan Sarawak (Bintulu, Miri, Limbang dan Kapit) pada sebelah petang.

Pada sebelah malam pula, hujan di satu dua tempat dijangka berlaku di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, semua bahagian di Sarawak dan Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

- Bernama

Selasa, 17 Januari 2017

PEMBANGUNAN 'FORREST CITY' DI JOHOR BAHRU

Surat Tun Mahathir Kepada NST

PEMBANGUNAN J.B.
17 Jan 2017

1. Saya tidak tahu samada benar atau tidak cabaran yang dilontarkan oleh DYMM Sutan Johor terhadap saya berkenaan pembangunan JB.

2. Mungkin hanya akhbar The Star yang mentafsirkan apa yang dititah DYMM Tuanku sebagai melontarkan cabaran terhadap saya.

3. Tetapi selagi DYMM Tuanku tidak menafikan mencabar saya, saya akan anggap laporan The Star sebagai benar.

4. Saya mengaku bahawa saya berada di dalam keadaan yang agak lemah. Sementara sesiapa sahaja boleh berkata apa-apa terhadap saya, dan saya mengambil sikap terbuka terhadap kebebasan mereka berbuat demikian, saya harap di dalam menjawab terhadap cabaran DYMM Tuanku, saya tidak akan dipenjara tanpa bicara. Jika perbicaraan dapat diadakan, silalah tangkap saya.

5. Apakah yang telah diperkatakan oleh saya? Tidak lebih daripada apa yang dilaporkan Bloomberg di dalam akhbar. Tetapi saya boleh terima kenapa laporan Bloomberg tidak akan dicabar atau dinafikan.

6. Apakah yang diperkata oleh Bloomberg di dalam laporannya pada 22hb November lepas? Ia mengatakan yang sebuah syarikat dari China akan membangunkan Forest City yang akan memuatkan 700,000 penduduk. Ianya juga melapor bahawa orang Cina dari China diterbangkan untuk melihat pameran model sebesar manusia (bergambar) dan mereka ini sudah, malahan akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City.

7. Saya tidak fikir ramai Melayu atau Cina Johor telah beli atau akan beli apartment ini. Malaysia tidak mempunyai penduduk yang begitu ramai untuk membeli kesemua hartanah ini.

8. Bloomberg, di dalam laporan yang sama turut menyatakan tentang 60 pembangunan lain yang mirip Forest City, dan ini juga sedang dijual kepada rakyat tanah besar China.

9. Melihat kembali pada tahun 1819, apabila Sutan Johor, Sultan Ali tidak mahu memajak Singapura kepada British, Temenggung telah menandatangani pajakan tersebut. Lihatlah Singapura hari ini. Sebahagian daripada Johor kini adalah negara asing – memanglah ia dibangun dengan mudah, tetapi ia tetap negara asing.

10. Lebih sejuta rakyat asing akan tinggal di Forest City JB dan 60 pembangunan lain disekitarnya. Semua tempat baru ini tidak akan menjadi negara asing tetapi akan mengandungi peratus orang asing yang tinggi. Jika mereka tinggal untuk satu tempoh yang lama yang ditetapkan, mereka layak untuk menjadi rakyat Malaysia.

11. Ya, saya yang mempromosi Pelaburan Langsung Asing (FDI – Foreign Direct Investment). Tetapi ianya bukan bertujuan membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjualnya kepada rakyat asing, yang akan tinggal di sana.

12. FDI ialah berkenaan pelaburan di dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia akan membina bangunan dan rakyat akan bekerja di dalam industri-industri tersebut. Mereka akan mempelajari kemahiran dan akan memulakan perniagaan pengeluaran barangan mereka sendiri.

13. Kontraktor Malaysia berkebolehan membina pelbagai jenis bangunan dan memajukan tanah. Kita tidak perlu orang asing untuk ini. Lihatlah Malaysia hari ini. Sembilan puluh peratus atau lebih daripada bangunan baru ini dan pembangunan lain dibuat oleh syarikat Malaysia. Majoriti pembeli juga rakyat Malaysia dan mereka juga bermastautin di situ.

14. Tetapi apabila rakyat asing beli tanah, tidak terdapat aliran masuk wang pun. Kebanyakan sumber kewangan dipinjam dari dalam negara. Dan mereka juga boleh berniaga dengan menggunakan bank mereka sendiri.

15. Apa sahaja pendapatan syarikat asing ini perolehi akan dihantar pulang dan menyebabkan pengaliran keluar wang. Apabila diperkenalkan skim di mana pembeli boleh beli hartanah di negara China dan mendapat satu unit rumah pangsa atau rumah secara percuma di Malaysia, tidak akan ada keuntungan yang dibuat di Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak akan mendapat hasil cukai.

16. Benarkanlah semua transaksi dibuat dengan telus. Terbitkanlah semua dokumen berkaitan pelaburan, jumlah pekerja asing, negara asal mereka, pembeli, bank yang menyediakan pinjaman serta kesemua penghantaran balik wang keluar. Keluarkanlah ini dengan jujur. Jangan berselindung. Janganlah pulak disuruh seseorang yang bernama Tunku Aziz untuk mengesahkannya. Mungkin dia ini pada satu masa mengetuai Transparency International, tetapi dia menerima tanpa belah bagi rompakan dan rasuah yang terjadi dalam 1MDB.

17. Jadi biarlah Transparency International yang benar-benar “International” memeriksa dokumentasi rasmi yang dikeluarkan. Biarkan rakyat meneliti dokumen tersebut untuk buktikan kesahihannya.

18. Pandang ke Timur bukan bermakna mengajak negara-negara di Timur membeli tanah di Malaysia, membangun dan menjual kepada rakyat dari negara-negara mereka. Ya, kita menggalakkan orang asing untuk jadikan Malaysia rumah kedua mereka (Malaysia My Second Home). Tetapi jumlah mereka ini sedikit. Dasar Pandang ke Timur bukan untuk membenarkan migrasi secara besar-besaran melibatkan ratusan ribu. Ianya adalah untuk rakyat Malaysia mempelajari bagaimana negara-negara di Timur ini membangun dan memajukan negara mereka.

19. Mudah sekali untuk menuduh saya ini racist, atau bersikap perkauman. Sebelum ini pun saya pernah digelar Malay ultra.

20. Label atau panggilan serta usaha untuk memburukkan imej ini lebih menunjukkan kegagalan untuk mematahkan apa yang saya buat atau katakan.

21. Ia mencerminkan ketiadaan asas untuk hujah bagi melawan hujah saya.

22. Ini adalah negara berbilang kaum. Rakyat berlainan keturunan, bahasa, agama, budaya dan pencapaian ekonomi telah tinggal dengan aman.

23. Di banyak negara, hanya kerana perbezaan interpretasi yang sedikit pada agama yang dianuti bersama menyebabkan pergaduhan dan peperangan. Tetapi Malaysia stabil dan aman.

24. Ianya stabil dan aman kerana kita terima keadaan sesama kita. Selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri, tidak terdapat pergaduhan kaum yang serius. Konflik ada. Tetapi tanpa keganasan. Dan negara dapat dibangun.

25. Jika saya amalkan perkauman, zaman saya akan terlihat ketidaktentuan dan kemuduran di negara ini.

26. Sesiapa boleh pertikai apa yang saya katakan. Itu hak demokratik sesiapa.

27. Saya cabar The Star untuk siarkan apa yang saya katakan ini secara keseluruhan. Tanda ketakutan Kerajaan terhadap kebenaran boleh digambarkan dengan sejauhmana media arus perdana dikawal.

28. Saya terima jika penulisan ini tidak disiarkan sama sekali kerana kita hidup di dalam sebuah negara kleptocratic di mana kebenaran merupakan satu bala, hanya boleh dibisik tetapi tidak boleh diperkatakan secara terus terang.

29. Saya rakyat Malaysia yang dilahirkan di Kedah.

30. Malaysia adalah rumah saya dan objek kesetiaan saya. Jika saya harus dituduh sebagai penderhaka kerana apa yang saya perkatakan, tuduhlah.

Dr Mahathir bin Mohamad
16 January 2017

Surat asal yang disunting telah disiarkan di dalam akhbar The Star bertarikh Jan 17, 2017, di ruangan surat

Jumaat, 13 Januari 2017

MALAYSIA - CHINA, ADAKAH AKAN JADI SEPERTI SRI LANKA

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani menafikan Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka yang terpaksa memajakkan hartanahnya untuk berhutang kepada China.

"Itu sri lanka, ini Malaysia," katanya ketika ditemui di satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang aktivis sosio ekonomi, Azlan Awang yang memberi amaran mengenai risiko Malaysia menghadapi masalah sama seperti Sri Lanka kerana berhutang kepada China.

Azlan yang juga timbalan pengerusi Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Bantah TPPA) berkata Malaysia perlu menanggung akibat jika projek mega berkaitan China gagal.

Beliau merujuk rusuhan berhampiran bandar pelabuhan Hambantota di selatan Sri Lanka, baru-baru ini kerana membantah perjanjian yang menyebabkan pelabuhan terbabit menjadi jajahan China.

Menerusi perjanjian, pelabuhan itu akan dipajak selama 99 tahun kepada sebuah syarikat, di mana China akan mempunyai 80 peratus pegangan.

“Bagi Malaysia, apa penaltinya jika kita gagal membayar hutang besar kita?” soal Azlan.

Beliau mendakwa pelaburan serta pinjaman “sembarangan dan melulu” Putrajaya akan menyebabkan “timbunan besar” hutang.

Menyangkal dakwaan itu, Johari berkata Malaysia hanya akan berurusan dengan syarikat korporat terkemuka dari China.

"Mana-mana syarikat yang nak berdagang dengan kita, dia mesti kena ada reputasi," katanya.

November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beliau berjaya mendapatkan RM143.6 bilion pelaburan langsung asing (FDI) semasa lawatan ke China.

China akan membiayai dan membina Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Pembangkang menentang perjanjian dengan China kerana bimbang Malaysia terperangkap dalam percaturan politik kuasa besar dunia itu di Laut China Selatan.

Khamis, 12 Januari 2017

BAGAIMANA WITHDRAW DUIT DI ATM TANPA KAD

Mesti panik kalau kita sedang jalan-jalan, cip kad tiba-tiba rosak ataupun dompet hilang sebab tak boleh keluarkan duit di bank. Paling getir kejadian sebegini berlaku pada waktu malam, nak buat kad baru bank tutup, pinjam rakan tak ada duit/dah tidur tapi nak kena pakai duit lebih pada waktu itu

Sebenarnya ada jalan penyelesaian lain yang mungkin ramai tak tahu dimana kita boleh keluarkan duit di atm tanpa menggunakan kad. Cara ini mungkin agak complicated sedikit tapi inilah satu-satunya cara yang boleh selamatkan diri daripada ketandusan wang untuk tampung diri buat sementara waktu.

Jadi, ingat dan simpan perkongsian ini sebagai panduan apabila korang berada dalam keadaan kecemasan nanti. Oh ya, ini hanya untuk pengguna akaun Maybank sahaja, Hong Leong pun ada cuma kami yakin mesti ramai yang guna Maybank kan?

1. Layari Maybank2u.com

Pastikan korang sudah mendaftar Maybank2u.com untuk membuat transaksi ini, layari laman tersebut menggunakan browser (jangan guna yang apps)  dan klik pada pautan Account & Banking

2Pilih Transfer Kemudian Cardless Withdrawal.

 

Ada 2 pilihan di Cardless Withdrawal ini. Kalau untuk kali pertama,n gunakan “Open Cardless Withdrawal”. Tekan pautan tersebut.

3. Isi Maklumat Yang Diperlukan

Masukkan butiran-butiran yang diperlukan termasuklah jumlah amaun yang korang nak. Paling penting sekali ialah nombor telefon, jangan salah amsuk sebab transaksi ini melibatkan korang untuk menggunakan sms. Bagaimanapun maksimum amaun yang korang bolehkan sehingga RM300 sahaja. Klik pada pautan continue dan korang akan menerima SMS, disitu Maybank akan berikan 16 digit nombor, simpan dan terus ke mesin atm

4. Pilih Pengeluaran Tanpa Kad

Sejurus sahaja sampai di mesin ATM, tekan butang Enter atau mana-mana nombor, pilih bahasa dan tekan pada Pengeluaran Tanpa Kad yang terpapar di skrin tersebut.

5. Masukkan 16 Digit Yang Diterima Melalui SMS.

Masa ni lah korang perlu gunakan 16 digit nombor Transaction ID yang korang dapat melalui SMS tadi, kemudian klik pada butang YA. Double check sebelum tekan ya!

6. Masukkan Withdrawal Code

Sekali lagi korang akan menerima SMS untuk 6 digit nombor sebagai pengesahan pengeluaran Withdrawal Code. Masukkan kod tersebut sebelum tekan butang YA. Kemudian barulah boleh kelaurkan duit dengan senang hati! Settle satu masalah, selamat mencuba!


MODUS OPERANDI 'SKIM CEPAT KAYA' YANG PERLU ANDA TAHU

Walaupun telah banyak kesedaran yang diberikan supaya tidak menyertai skim cepat kaya, masih ramai lagi yang terpedaya dengan skim ini. Mereka yang terpedaya ini bukanlah dari golongan yang biasa-biasa sahaja malaha melibatkan golongan profesional seperti doktor, pegawai eksekutif dan ramai lagi. 

Dengan hanya menjanjikan kekayaan dalam masa yang cepat, masih ramai yang terpedaya kerana tidak mempunyai ilmu untuk mengesan skim cepat kaya ini. Kenapa masih ramai yang terpedaya?Mereka datang dengan kereta mewah dan pakaian yang mahal semata-mata untuk menarik perhatian anda. 

Jika anda gagal mengesan skim cepat kaya ini, anda mungkin menjadi salah seorang dari mangsa. Lebih membimbangkan lagi apabila skim cepat kaya ini juga sering menggunakan pangkat seseorang yang berpengaruh seperti selebriti, ustaz dan juga seseorang yang berpangkat Datuk untuk memberi keyakinan terhadap skim mereka. 

Perkara yang membuatkan orang ramai menjadi yakin dengan skim cepat kaya ini adalah apabila mereka mula menggunakan 'Instrumen' seperti Emas, Hartanah dan Produk Kesihatan atau Kecantikan untuk mengalih perhatian orang ramai terhadap skim yang mereka anjurkan. 

Kami ingin kongsikan modus operandi yang sering dilakukan oleh skim cepat kaya ini supaya anda tidak terpedaya dengan mereka. 

Kawan lama ajak jumpa

Pernah tak anda dihubungi rakan lama anda yang sudah lama tidak berjumpa dan seterusnya mengajak untuk berjumpa?Ini adalah perkara paling mudah untuk anda hidu tanda-tanda awal skim cepat kaya. Namun, anda jangan pula terus serkap jarang tanpa menyiasat terlebih dahulu. 

Kebiasaannya, mereka akan mengajak anda untuk berjumpa di tempat yang gah seperti hotel atau tempat yang mahal. Tempat yang jarang anda pergi ini merupakan satu tarikan pertama untuk memperkenalkan anda dengan skim mereka. 

Apabila sudah sampai, anda boleh lihat ramai leader yang memakai pakaian kemas serta nampak mahal sebagai simbol kejayaan perniagaan mereka. Untuk pengetahuan anda, cara ini bukan sahaja digunakan oleh skim cepat kaya, malah perniagaan yang berasaskan recruitment juga akan melakukan perkara yang sama tetapi menggunakan perniagaan yang sah. Mereka akan menerangkan tentang kehebatan perniagaan mereka untuk meyakinkan orang ramai supaya menyertai mereka. 

Ketika mendengar taklimat berkenaan skim tersebut, pastikan anda tidak terpedaya dengana janji serta tawaran kekayaan dalam masa terdekat.

Dapatkan modal melalui pinjaman

Kebiasaannya, skim cepat kaya ini memerlukan modal yang tinggi serta menawarkan pakej yang berbeza. Semakin besar modal yang anda laburkan, semakin banyak pulangan yang anda akan dapat.

Baru-baru ini tersebar di dada akhbar apabila ramai pelajar universiti mula terlibat dengan skim cepat kaya ini dengan menggunakan duit pinjaman pendidikan mereka. Kerana inginkan kekayaan yang cepat, mereka telah menggunakan wang yang sepatutnya membantu mereka dalam pembelajaran. 

Berdasarkan pengalaman beberapa orang yang pernah terlibat dalam skim cepat kaya ini, peserta juga diajar bagaimana untuk mendapatkan modal sama ada melalui pinjaman kawan, saudara mara atau bank. 

Ada yang sanggup menipu kawan untuk meminjam duit untuk menyertai skim cepat kaya ini.


Ada juga segelintir leader yang sanggup menemankan peserta tersebut hadir ke bank untuk memohon pinjaman peribadi. Apabila skim tersebut mempunyai masalah, peserta tadi perlu menanggung beban yang tinggi serta perlu menyelesaikan pinjaman peribadi tersebut dengan menggunakan duit gaji mereka.

Tawaran tidak masuk akal

Nak cepat kaya? Jika jawapan anda adalah 'ya', anda mungkin senang untuk diperdaya selepas melihat pulangan atau keuntungan yang mereka tawarkan. Kadar keuntungan sehingga 100% sebulan menyebabkan ramai yang terpedaya dengan janji tersebut.

Lebih menarik lagi, pulangan yang dijanjikan juga ada yang diberi setiap bulan atau setiap tahun. Apabila anda tahu yang anda akan terima keuntungan secara tetap setiap bulan, pinjaman peribadi bukanlah satu masalah besar.

Mana-mana pelaburan yang berlandaskan Shariah tidak memberi jaminan keuntungan yang tetap setiap bulan.


Oleh itu, anda perlu lebih berhati-hati jika ditawarkan satu pelaburan yang mampu memberi pulangan yang tinggi.

Cari orang, bukan jual produk

Konsep perniagaan yang normal adalah melibatkan penjualan sesuatu produk atau servis. Namun, skim cepat kaya ini menggunakan konsep yang berlainan iaitu dengan membuat recruitment atau mencari downline tanpa perlu menjual produk.

Fokus utama mereka adalah untuk mendapatkan seberapa banyak peserta yang boleh membuat pendaftaran dengan bayaran berdasarkan pakej yang disediakan. Semakin banyak recruitment yang anda buat, semakin banyak komisyen yang anda dapat.

Jangan terkejut jika skim cepat kaya tersebut juga memberitahu anda bahawa anda sebenarnya tidak perlu menjual produk dan juga membuat recruitment. Ini adalah satu skim yang berbentuk pelaburan dimana anda hanya perlu menyerahkan duit anda kepada syarikat dan mereka akan 'melaburkan' duit tersebut.

Konsep ini lebih diminati oleh orang ramai kerana tidak perlu melakukan banyak kerja untuk mendapatkan keuntungan.

Rabu, 11 Januari 2017

Ringgit: RM4.40 akhir tahun ini, RM4.30 awal 2018

Ringgit, yang dijangka bergerak antara 4.50 dan 4.60 berbanding dolar AS pada separuh pertama tahun ini, boleh meningkat kepada 4.40 menjelang akhir tahun berikutan unjuran harga minyak minyak mentah naik kepada US$70 setong daripada kira-kira US$54 sekarang ini.

Pakar Strategi FX Asia Standard Chartered Global Research Divya Devesh, berkata bank yakin terhadap kenaikan harga minyak dan ini akan menyokong ringgit.

"Kami menjangka ia akan naik lagi ke paras 4.30 pada awal 2018," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai penyelidikan global bank, hari ini.

Divya berkata faktor lain yang akan menyokong ringgit ialah unjuran kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang telah stabil.

"Pasaran telah mengambil kira lima kenaikan kadar Rizab Persekutuan dalam dua tahun akan datang.

"Pada separuh pertama tahun ini, mungkin unjuran pasaran mula stabil dan jika ini berlaku, ia akan menyediakan sokongan positif kepada mata wang," kata Divya.

Beliau berkata dalam konteks unjuran kenaikan Rizab Persekutuan yang telah stabil dan harga minyak lebih tinggi, pelabur asing mungkin mahu meneliti semula portfolio mereka.

"Ringgit sedikit sebanyak tidak terkait dalam asas ini yang masih kukuh dan nilai ringgit masih menarik.

"Berdasarkan alasan ini yang menyokong ringgit, kami yakin pelabur asing akan mahu mengkaji semula kedudukan mereka yang akan mewujudkan aliran masuk kembali ke Malaysia," kata Divya.

- Bernama

Selasa, 10 Januari 2017

Emas Kini Boleh Digunakan Sebagai Instrumen Pelaburan

Ramai di antara anda yang memiliki emas.

Ia merupakan salah satu daripada matawang yang paling lama wujud, walaupun kini duit kertas sebagai pengganti.

Ada berita baik untuk pelabur emas.

Berita baiknya adalah akhirnya emas telah diterima buat pertama kalinya sebagai instrumen pelaburan di dalam kewangan Islam selepas Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), badan yang dibentuk bagi menetapkan standard industri berkenaan patuh Syariah telah mengeluarkan Standard Syariah pada 19 November lalu.

Permintaan Emas Bakal Meningkat

Dengan adanya peraturan baru ini, ia pastinya membuka jalan bagi perbankan syariah menjalankan transaksi emas yang lebih aktif sekaligus meningkatkan permintaan terhadap emas.

Kita bakal menyaksikan kebangkitan emas sebagai matawang yang digunakan secara meluas di dalam perdagangan dunia.

Perniagaan kewangan Islam yang bernilai $1.88 trillion US Dolar bakal menjadi semakin rancak lepas ini dan bakal membuka peluang perniagaan baru.

Emas Sertai Ekuti, Hartanah, Bon Islam (Sukuk) Dan Takaful

Semua instrumen di atas merupakan patuh Syariah yang diperkenan di dalam dunia pelaburan Islam. Jika sebelum ini, ramai yang simpan dan peram sahaja emas di rumah, atau memakainya sebagai perhiasan di badan – kini anda boleh guna emas tersebut sebagai instrumen pelaburan.

Jika dahulu ia disifatkan sebagai komoditi yang pasif, kini emas pula boleh memainkan peranan yang lebih banyak untuk meningkatkan kekuasaan dan kekayaan bagi orang Islam secara langsung di seluruh dunia.

Perniagaan Kewangan Islam Semakin Diterima Ramai

Ini menandakan satu lagi kejayaan bagi kewangan Islam, dan tahniah kepada mereka yang bekerja keras sepanjang masa bagi memperjuangkan konsep kewangan Islam yang kini terkenal di seluruh dunia.

Malaysia yang merupakan hab kewangan Islam di rantau ini, semestinya menerima tempias terhadap pengumuman ini. Ramai yang beranggapan bahawa Malaysia merupakan pengamal kewangan Islam yang terbaik dan menjadikan Malaysia sebagai contoh bagi membangunkan kewangan Islam di negara masing-masing.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pernah menerbitkan panduan Parameter Syariah ke atas Dana Dagangan Bursa Islam berasaskan Emas dan Perak pada 2014.

Akhir kata, daripada anda simpan emas di bawah bantal atau di dalam almari – ayuh kita gunakannya sebagai instrumen pelaburan di samping menambah pendapatan anda sekeluarga.

AMARAN : Kepada anda yang mempromosikan skim peleburan Zenith Gold, sila jangan gunakan posting ini untuk menghalalkan skim emas anda yang terang lagi nyata TIDAK mendapat kelulusan pihak berautoriti seperti Bank Negara & TIDAK PATUH SYARIAH. Banyak pelaburan emas di pasaran, mana nak tahu betul ataupun tipu? Mudah sahaja, yang betul-betul kalau kita BELI EMAS MESTI DAPAT EMAS, tidak bertangguh, delay, atau kena tunggu dalam tempoh masa tertentu.

Ahad, 8 Januari 2017

Kemboja Akan Bina Menara Berkembar Tertinggi

Menara berkembar tertinggi di dunia bakal dibina di Kemboja setelah dua syarikat dari China menandatangani perjanjian usaha sama.

Menurut laporan Shanghaiist, Sino Great Wall International dan Wuchang Shipbuilding Industry memenangi projek tersebut melalui bidaan bernilai AS$2.7 bilion (RM12 bilion).

Menara tersebut dijangka mempunyai 133 tingkat dan setinggi 560 meter setelah siap, iaitu 108 lebih tinggi dari menara berkembar tertinggi di dunia ketika ini, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

Proses pembinaan dijangka bermula setelah kedua-dua pihak memuktamadkan perjanjian dana untuk tempoh lima tahun.

Menara berkenaan yang masih belum diberi nama akan dibina bersebelahan sungai Mekong dan mengandungi hotel mewah, ruang pejabat dan kedai, ruang pameran, panggung dan restoran.

Sabtu, 7 Januari 2017

2017 Tahun Penuh 'SEKSA' Ibubapa

Tahun 2017 adalah tahun di mana ibu bapa terbeban dengan peningkatan kos perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan Kemanusiaan dan Bencana Alam Amanah, Mariam Abdul Rashid berkata, keperitan itu lebih dirasai oleh ibu bapa yang berpendapatan rendah dan pada tahap miskin yang mempunyai ramai tanggungan anak bersekolah.

“Kenaikan kos adalah dari pakaian, beg, kasut sekolah sehinggalah kepada kenaikan yuran dan tambang bas sekolah.

"Ini adalah kerana kesan daripada kejatuhan ekonomi negara dan kenaikan kos kehidupan pada tahun ini dalam masa yang sama cukai GST yang dikenakan di samping kenaikan harga barang-barang keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, ada juga ibu bapa yang terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi menampung kehidupan dan pembelajaran anak-anak.

“Apa yang menyedihkan, pemerintah langsung tidak menghiraukan derita rakyat malah mereka terus menerus dengan kehidupan mewah membelanjakan harta negara dan rakyat demi kepentingan peribadi.

“Keadaan menjadi lebih gawat ditambah dengan kejatuhan ringgit yang terlalu rendah merundum.

Justeru itu, katanya lagi, rakyat perlu bangkit dan wajib berubah untuk memilih pemimpin lebih telus, berintegriti dan beramanah serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Rakyat sudah cukup-cukup derita. PRU14 adalah masa terbaik kepada rakyat menggunakan kuasa mereka,” katanya lagi.

Khamis, 5 Januari 2017

Jumlah Kadar dan Pendapatan Dividen KWSP EPF 2016 - 2017

Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan mengumumkan kadar Dividen KWSP bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 pada pertengahan bulan Februari 2017 atau selewat-lewatnya awal bulan Mac 2017.

Sambil menantikan pengumuman Dividen berkenaan, pekerja terutamanya dari sektor swasta berharap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan dividen lebih tinggi untuk tahun berakhir 31 Disember 2016 berikutan kos sara hidup yang meningkat serta kesan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang membuatkan mereka sukar untuk menabung daripada gaji bulanan.

Oleh itu, pencarum aktif dalam KWSP mengharapkan kadar dividen lebih baik berbanding tahun sebelumnya (6.40%) kerana dana itu merupakan satu-satunya sumber simpanan untuk persaraan mereka kelak.

Rabu, 4 Januari 2017

PRU-14 SUKU KETIGA 2017 BN MENANG

Pasukan Penyelidikan Sulit Financial Times menjangkakan bahawa pilihan raya umum ke-14 akan diadakan pada suku ketiga tahun ini, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di landasan yang betul untuk mengekalkan cengkaman kuasanya.

Cabang penyelidikan akhbar ekonomi antarabangsa Financial Times itu juga percaya bahawa persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang kini dicabar di mahkamah akan siap menjelang akhir suku kedua.

"Kami menjangkakan Najib akan memenangi pilihan raya umum akan datang walaupun terpalit dengan skandal rasuah 1MDB.

"Proses persempadanan semula yang berjaya dan pembangkang yang berpecah bermakna peluang untuk perubahan kuasa adalah sangat kecil di Malaysia," katanya dalam satu kertas penyelidikan.

Menurut pasukan penyelidikan itu, Najib juga akan mendapat manfaat hasil kegagalan yang dijangka dalam rundingan antara Pakatan Harapan dan PAS.

Najib sebelum ini membayangkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, tetapi tarikh sebenar masih menjadi misteri, sama seperti apa yang berlaku sebelum pilihan raya umum tahun 2013.

Perdana Menteri juga menafikan beliau menyalahgunakan dana 1MDB dan mendakwa tuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menjatuhkannya.

Ramalan PRU-14 adalah sebahagian daripada laporan pasukan penyelidikan FT mengenai kaji selidik sentimen ekonomi dan politik di kalangan 1,000 responden di Malaysia.

Kaji selidik itu mendapati bahawa rakyat negara ini adalah antara yang paling pesimis daripada responden di negara-negara Asean, dengan indeks sentimen ekonomi Malaysia jatuh 10.6 mata kepada 19 mata pada suku keempat.

Indeks sentimen politik Malaysia juga merosot 6.1 mata sepanjang tempoh yang sama kepada 22.9 mata.

Penyelidikan FT itu juga percaya bahawa ketidaktentuan mengenai tarikh pilihan raya akan datang, serta susut nilai ringgit mungkin menyumbang kepada prospek suram negara.

"(Rakyat Malaysia) satu-satunya yang menjangkakan iklim ekonomi dan politik tempatan mereka akan merosot dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.

Pasukan penyelidik itu berkata sentimen ekonomi merosot di sebalik "peningkatan baru-baru ini dalam ekonomi."

"Kami menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.4 peratus dan 4.7 peratus pada 2017, meningkat daripada anggaran 4.2 peratus tahun ini," katanya.

Ringgit Cecah Paras RM4.50 berbanding dolar

Matawang negara ringgit menjunam ke paras terendah baru iaitu RM4.5002 berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia 1998.

Menurut data dari Bloomberg, ringgit yang terus berdepan dengan tekanan melepasi paras psikologi RM4.50 pada jam 11.20 pagi tadi.

Pergerakan ringgit terus menjunam untuk 40 minit seterusnya mencecah paras RM4.5002 sedolar pada jam 12.22 tengahari.

Kadar pertukaran yang dikeluarkan oleh Bank Negara menunjukkan harga jualan AS$1 adalah RM4.5010 pada tengah hari.

Ringgit mencecah titik terendah pada nilai RM4.88 berbanding AS$1 pada bulan Januari 1998.

Perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya memutuskan ringgit ditambat pada kadar RM3.80 berbanding dolar.

Malaysia menarik semula tambatan ringgit pada tahun 2006, yang menyaksikan nilai mata wang negara meningkat berbanding dolar .

Pada kemuncaknya, ringgit mencapai purata bulanan RM2.987 berbanding dolar pada bulan Ogos 2012.

Bagaimanapun, prestasi ringgit semakin lesu menjelang 2013 dan pada Julai 2015, ia terus menjunam melepasi peringkat kadar tambatannya pada RM3.80.

RINGGIT SUSUT KEPADA RM4.4932 SEDOLAR

Ringgit berdepan tekanan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila susut ke paras RM4.4932 sedolar, paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998.

Ia sejajar dengan kelemahan mata wang serantau lain berikutan jangkaan pusingan seterusnya kenaikan kadar faedah AS. Selera mengambil risiko bagi Ringgit semakin lemah dikalangan pelabur yang menunggu pemangkin baharu untuk menggalakkan pembelian susulan usaha AS meneruskan peningkatan kadar faedahnya awal tahun ini.

Kadar faedahnya sudah dinaikkan kepada 25 mata asas di AS sejak 14 Disember 2016. Peniaga berkata, pelabur kekal di luar dagangan meneruskan cuti panjang mereka sekali gus menyumbangkan kepada kelemahannya berbanding mata wang lain.

Ia naik berbanding Dolar Singapura kepada 3.0914/0963 daripada 3.1043/1085; naik berbanding yen kepada 3.8229/8273 daripada 3.8375/8411 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun lebih dihargai berbanding mata wang Britain kepada 5.5130/5183 dari 5.5213/5259 Jumaat lalu dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6953/7013 daripada 4.7482/7523.

Isnin, 2 Januari 2017

Fomca jangka Kos Sara Hidup 2017 Terus Meningkat

Tahun baru 2017 memulakan hari pertamanya dengan jangkaan kos sara hidup akan terus meningkat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd yusof Abdul Rahman menjangkakan perkara itu berikutan beberapa isu peningkatan harga barangan.

Katanya, rakyat perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan itu supaya ia tidak memberi kesan yang besar dalam kehidupan seharian.

“Selain isu peningkatan harga barangan dan nilai mata wang negara yang rendah juga akan memberi kesan.

“Apatah lagi, sebagaimana laporan persatuan majikan, mereka turut menjangkakan lebih ramai pekerja akan diberhentikan. Jadi rakyat perlu bersedia,” Mohd Yusof seperti dilapor Sinar Harian.

Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing naik sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa hari ini.

Ini menjadikan harga petrol RON95 berharga RM2.10 seliter dan diesel RM2.05 seliter.

Bagi petrol RON97, harga runcit akan naik sebanyak 15 sen kepada RM2.40.

Kerajaan menentukan harga bahan api melalui sistem apungan terurus.

Ia mengambil kira beberapa faktor, termasuk harga global minyak mentah dan kekuatan mata wang negara pada bulan sebelumnya.

Mohd Yusof berkata, bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, kerajaan diharapkan dapat menangguhkan kenaikan harga barangan mahupun tarif perkhidmatan.

“Biasanya apa yang dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup adalah dari segi peningkatan harga, tidak kiralah barangan atau perkhidmatan.

“Pada 2016, keadaan ekonomi berada dalam keadaan yang meleset, jadi kita harap kerajaan dapat mencari jalan menyelesaikan isu-isu yang sedang berlaku sekarang seperti nilai mata wang negara yang masih rendah.

“Jika masalah ini dapat diatasi ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan kepada rakyat,” katanya.

Mohd Yusof turut menasihatkan rakyat di negara ini supaya menguruskan kewangan mereka dengan cara berhemah.

“Rakyat perlu berbelanja secara bersederhana dengan hanya membeli barangan keperluan tertentu sahaja dan selebihnya disimpan kerana kita tidak dapat meramal apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Ingin kerja 'Part Time' Klik Sini