Isnin, 19 Jun 2017

SENARAI 60 BARANGAN BAHARU YANG AKAN DIKENAKAN GST

Beberapa jenis barang dan perkhidmatan dikenakan cukai GST sudah pun dilaksanakan sejak 1 April 2015. Ada banyak cakap-cakap tentang kelemahan GST dan kesannya kepada pengguna macam kita semua.

Baru-baru ini portal rasmi dari Jabatan Kastam Malaysia, atau GST  telah mengeluarkan satu pengumuman dengan memaklumkan bahawa 60 jenis makanan akan dikeluarkan dari senarai barang makanan yang tidak dikenakan GST sebanyak 6%.

Ini bermakna beberapa jenis makanan termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, minuman dan rempah akan dikenakan GST. Menurut pemerhatian dari senarai tersebut, kebanyakan makanan yang akan dikenakan cukai GST merupakan makanan utama harian contohnya seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Perintah ini dapat di lihat melalui laman sesawang GST dan memaklumkan bahawa perintah ini mula berkuat-kuasa pada 1 Julai 2017.

Senarai bahan makanan (berdasarkan Pindaan[2]2017 ) yang akan di kenakan GST

Makanan Laut
~ Belut (Anguilla spp.) Termasuk ikan, filet, stik dan ikan, masin, kering dan diperap.
~ Todak (Xiphias Gladius) terdiri daripada ikan, filet, stik dan ikan, masin, kering dan diperap

Sayuran
Sayur-sayuran (sama ada atau dikukus dan beku)
~Kentang
~Kacang
~Bayam
~Jagung  Muda
~Cendawan
~Timun
~Buah zaitun
~Lada
~Sayur campur (masin diawet): Jagung Manis, Lada (capsicum), lompat (Capers)

Buah Buahan
~Kurma
~Buah ara
~Anggur
~Apricot
~Cherry
~Peach
~Plum
~Buah Buahan Segar (tidak di senaraikan)

~Teh/Kopi
~Teh Hijau
~Kopi (kopi tulen, gula, krim, susu manis, atau dicampur pakej dibungkus secara individu)

Rempah
~Kunyit
~Thyme
~Daun bay
~Minyak
~Minyak Kelapa
~Minyak Kacang

Mee
~Mee beras (tidak termasuk perasa, perisa atau berasingan dibungkus atau berasingan)
~Kueh Teow/Laksa (tidak termasuk perasa, perisa atau berasingan dibungkus atau berasingan)
~Mee Segera

Sebelum ini satu pembentangan penyususunan semula pelepasan dan pengenaan cukai GST pada 4 Mac 2017 oleh Menteri Kewangan Malaysia dengan memasukkan pengenaan GST ke atas mee segera, mee dan laksa kering manakala dalam masa yang sama mee kolok tidak dikenakan GST.

Menjadi persoalannya kenapa mee segera, mee dan laksa kering dikenakan GST sedangkan ia adalah makanan orang kebanyakan dan orang susah.

Ahad, 4 Jun 2017

Kadar Zakat Fitrah 2017 Bagi Setiap Negeri Di Malaysia

Berapa kadar zakat fitrah 2017 bagi negeri-negeri di Malaysia??

Bulan Ramadhan menjelang tiba, maka seluruh umat Islam mula bersiap-sedia menghadapi bulan yang mulia ini.

Bulan yang penuh keberkatan dan kerahmatan.

Bulan yang mana kebanyakan orang berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Selain ibadat puasa, bulan Ramadan juga mengingatkan kita kepada satu lagi ibadat wajib yang mesti dilaksanakan, iaitu mengeluarkan zakat fitrah.

Mengeluarkan zakat, sama ada zakat fitrah dan zakat harta, adalah salah satu daripada rukun Islam, maka wajib bagi seluruh umat Islam untuk melaksanakan ibadat ini dengan sempurna.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, marilah kita bersama-sama mengulangkaji semula berkenaan zakat fitrah dan kadar zakat fitrah 2017.

Definisi zakat fitrah

Zakat dari segi bahasa bermaksud menyucikan dan membersihkan diri, manakala dari segi istilah bermaksud mengeluarkan sebahagian harta pada kadar tertentu kepada golongan asnaf yang memerlukan mengikut ketetapan syariat Islam.

Zakat fitrah pula adalah zakat individu yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Hukum Zakat Fitrah

Hukum zakat fitrah adalah wajib ke atas umat Islam (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:

Syarat #1 
Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya berbanding keperluan tanggungannya (berkemampuan) pada malam dan pagi Aidilfitri

Syarat #2 
Hidup/lahir sebelum matahari jatuh dan kekal hidup selepas terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan (malam 1 Syawal)

Syarat #3 
Kekal/memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

Syarat #4 
Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan (sempat bertemu akhir Ramadhan dan pertama Syawal).

Zakay fitrah dikeluarkan oleh ketua keluarga untuk dirinya dan juga tanggungannya (suami keluarkan zakat fitrah untuk dirinya, isteri, anak-anak, ibubapa dan sesiapa sahaja di bawah tanggungannya)

Rukun-rukun zakat fitrah

Rukun #1 
Niat ikhlas semata-mata kerana Allah

Rukun #2 
Pemberi zakat

Rukun #3 
Penerima/wakil penerima zakat (amil)

Rukun #4 
Barang/item yang dizakatkan (duit, makanan asasi)

Rukun #5 
Kadar zakat yang dikeluarkan

Kadar zakat fitrah 2017

Kadar zakat fitrah adalah bersamaan satu gantang Baghdad bersamaan 2.7kg makanan ruji (di Malaysia, beras) atau senilai dengannya.

Sepertimana tahun-tahun sebelum ini, kadar zakat fitrah 2017 bagi negeri-negeri di Malaysia adalah ditentukan oleh Majlis Agama Negeri masing-masing, kerana tanggungjawab mengutip dan mengagihkan zakat adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Oleh itu, untuk tahu kadar zakat fitrah 2017, boleh rujuk dengan Majlis Agama Negeri di setiap negeri.

Untuk memudahkan pembaca, kadar zakat fitrah 2017 bagi setiap negeri di Malaysia adalah seperti berikut:

Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya), Terengganu = RM 7.00

Melaka = RM 6.70
Negeri Sembilan = RM 6.50

Majlis Ugama Negeri kebiasaannya menentukan kadar zakat fitrah berdasarkan nilai dan gred beras yang banyak digunakan masyarakat negeri tersebut.

Sebagai contoh, jika kebanyakan rakyat negeri A makan beras gred tinggi manakala rakyat negeri B makan gred sederhana, maka kadar zakat fitrah negeri A akan lebih tinggi berbanding negeri B.

Atas sebab inilah kadar zakat fitrah 2017 bagi negeri-negeri di Malaysia, ada yang sama, ada yang berbeza, kerana mengikut nilai dan gred beras yang digunakan kebanyakan rakyat di setiap negeri.

Cara bayar zakat fitrah

Sebaik-baiknya, bayaran zakat fitrah disalurkan kepada Majlis Agama Negeri melalui Pusat Pungutan Zakat atau amil-amil yang dilantik.

Boleh terus pergi ke mana-mana cawangan Pusat Pungutan Zakat atau berjumpa amil-amil yang dilantik sama ada di masjid-masjid, bazar-bazar Ramadan atau di mana-mana sahaja mereka berada.

Dengan membuat bayaran kepada Majlis Agama Negeri, bayaran zakat tadi dapat disampaikan dengan lebih sistematik dan menyeluruh kepada asnaf-asnaf yang memerlukan.

Tetapi, jika berniat untuk memberi terus kepada asnaf-asnaf, juga dibolehkan.

Namun, perlulah dipastikan orang yang diberi tersebut betul-betul merupakan golongan asnaf.

Jika orang yang menerima tersebut bukannya asnaf, dibimbangi amalan mengeluarkan zakat tadi tidak sah dan hanya menjadi sedekah/hadiah.

Sebab itulah lebih mudah membuat bayaran kepada Majlis Agama Negeri, kerana mereka mempunyai cara dan prosedur yang baik untuk mengenalpasti asnaf-asnaf yang betul-betul sah dan layak.

Waktu - waktu untuk membayar zakat fitrah

Waktu Wajib 
– Bermula terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan sehingga terbit matahari pada hari pertama Syawal

Waktu Afdhal 
– Sebelum solat sunat Aidilfitri

Waktu Sunat 
– Sepanjang hari pada bulan Ramadhan

Waktu Makruh 
– Selepas solat sunat Aidilfitri sehingga terbenam matahari pada 1 Syawal

Waktu Haram – Selepas terbenam matahari pada 1 Syawal

Walaubagaimanapun, sebaik-baiknya dinasihatkan supaya menunaikan ibadat zakat fitrah seawal yang mungkin, iaitu sepanjang hari dalam Bulan Ramadan.

Jika semua orang menunggu sehingga waktu wajib dan waktu paling afdhal untuk menunaikan zakat, dibimbangi berebut-rebut dan tidak sempat lalu menyebabkan ibadat zakat tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Oh ya, sebelum terlupa.

Selain daripada menunaikan kewajipan zakat fitrah, digalakkan juga untuk menyempurnakan kewajipan zakat harta dalam bulan Ramadan ini.

Maklumlah, zakat harta perlu dikeluarkan setiap tahun Hijrah, jadi mudahlah jika dikeluarkan dalam bulan Ramadan supaya senang untuk diingati.

Jadi tunggu apa lagi, jangan lupa bayar zakat!

Jumaat, 2 Jun 2017

20,000 Rakyat Dianggarkan Mati Akibat Rokok

GEORGETOWN - Kira-kira  20,000 rakyat negara ini dianggarkan mati akibat penyakit berkaitan merokok setiap tahun dan keadaan itu membimbangkan berikutan bilangan perokok dijangka semakin meningkat, kata Naib Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.

Beliau berkata, tembakau terus menjadi penyebab utama terbesar dunia yang menyumbang kepada kematian tahunan.

"Jika mereka semua merokok sekotak 20 batang setiap hari, rakyat Malaysia telah merokok 4.6 juta batang rokok sehari dan bayangkan kesannya ke atas ekonomi keluarga dan negara," katanya pada sidang media bersempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia di sini, hari ini.

Mohideen berkata purata perbelanjaan rokok bagi setiap perokok dianggarkan RM178.8 sebulan dan jumlah itu memberikan impak besar dalam perbelanjaan sesebuah isi rumah.

Katanya, penggunaan rokok elektronik atau vape juga patut dihentikan dan  kerajaan perlu berpendirian lebih tegas dengan mengambil langkah mengharamkan vape.

"Walaupun ada hujah mengatakan bahawa rokok elektronik membantu perokok berhenti merokok, ia juga menggalakkan mereka untuk merokok menggunakan peranti ini dengan kepercayaan bahawa ia kurang berbahaya," katanya. - Bernama

RHB Bank, Ambank Group Bergabung

KUALA LUMPUR; RHB Bank Bhd, bank keempat terbesar Malaysia dan AMMB Holdings Bhd (Ambank Group), bank keenam terbesar, mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia untuk memulakan perbincangan mengenai proses penggabungan.

Dalam satu kenyataan bersama, RHB Bank dan Ambank Group, berkata Bank Negara membenarkan mereka untuk memulakan rundingan eksklusif bagi tempoh sehingga 30 Ogos depan mengenai jangkaan urus niaga dan penggabungan saham secara keseluruhan.

Jika penggabungan berkenaan menjadi kenyataan, nilai gabungan aset kedua-dua entiti itu adalah RM365.9 bilion, kekal keempat terbesar, namun semakin hampir untuk menyamai bank ketiga terbesar negara iaitu Public Bank Bhd dengan saiz aset RM389.73 bilion.

Dari segi rangkaian cawangan, RHB Bank mempunyai 278 cawangan dengan lebih 16,000 kakitangan, manakala Ambank Group memiliki 175 cawangan dengan lebih 12,000 kakitangan.

Khamis, 1 Jun 2017

BAYARAN BR1M SEBELUM HARI RAYA AIDILFITRI

KENYATAAN AKHBAR OLEH YB MENTERI KEWANGAN II

MENGENAI PEMBAYARAN PERINGKAT KEDUA
BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA MULAI 5 JUN 2017 (ISNIN)

1. Sempena menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 25 Jun 2017, Kerajaan bersetuju agar pembayaran peringkat kedua BR1M 2017 dibuat mulai  5 Jun 2017 (Isnin). Pembayaran ini akan melibatkan penerima yang telah menerima BR1M 2017 semasa peringkat pertama tempohari. Bagi permohonan rayuan pula, pembayaran dijangka akan dibuat pada 17 Jun 2017.  Kerajaan berharap dengan pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

2. Pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing. Bagi mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional yang berhampiran.

4. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta email kepada: br1m@treasury.gov.my

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
31 Mei 2017